34 pelajar seberang Sungai Golok ke sekolah melalui pangkalan haram bebas jaminan polis

13 Apr 2026 • 7:02 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ibu bapa kepada 34 pelajar sekolah yang ditahan pada Ahad selepas menyeberangi Sungai Golok dari Thailand ke Rantau Panjang melalui pangkalan haram untuk ke sekolah menunggu anak-anak di hadapan IPD Pasir Mas dimana mereka dibebaskan dengan jaminan polis jam 11.30 pada Ahad.

PASIR MAS - Seramai 34 pelajar sekolah yang ditahan pada Ahad selepas menyeberangi Sungai Golok dari Thailand ke Rantau Panjang di sini melalui pangkalan haram untuk ke sekolah dibebaskan dengan jaminan polis.

Kesemua mereka yang berusia tujuh hingga 16 tahun itu dibebaskan kira-kira jam 11.30 malam pada Ahad.

Wakil kepada salah seorang keluarga pelajar itu berkata, anak-anak yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Menurutnya, semua ibu bapa boleh membawa pulang anak masing-masing selepas menurunkan tandatangan pada borang yang diberikan oleh pihak polis.

Ujarnya, setakat ini pelajar dibebaskan secara berperingkat.

"Kami juga dimaklumkan bahawa anak-anak tidak perlu dibawa ke mahkamah esok (Isnin)," katanya.

Sebelum itu Sinar Harian melaporkan seramai 34 pelajar ditahan oleh PGA selepas dikesan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand ke Rantau Panjang melalui pangkalan haram untuk ke sekolah pada Ahad.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kesemua mereka yang berusia antara tujuh hingga 16 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.30 pagi.

"Siasatan awal mendapati kesemua mereka terdiri daripada 12 perempuan dan 22 lelaki dikesan menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram di sini.

"Mereka merupakan warganegara Malaysia yang tinggal di Selatan Thailand namun bersekolah di Rantau Panjang," katanya kepada pemberita.