RANTAU PANJANG - Suasana pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sini pada pagi Isnin lengang tanpa sebarang aktiviti apabila pelajar kelihatan masuk ke sini menggunakan laluan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
Tinjauan Sinar Harian di lokasi sekitar jam 6.45 pagi mendapati pelajar sekolah yang tinggal di sebelah Thailand tetapi bersekolah di sini kerana mempunyai MyKad mulai masuk ke sini bersama ahli keluarga untuk ke sekolah.
Sementara itu suasana di sekitar pangkalan haram di Sungai Golok sunyi dan kelihatan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menunggang motosikal sedang melakukan rondaan.
Penduduk yang ditemui dan hanya ingin dikenali sebagai Man, 32, berkata, aktiviti merentas sempadan menggunakan pangkalan haram masih berlaku terutama melibatkan pelajar sekolah.
"Bila tiada rondaan ada pihak yang mengambil kesempatan dengan membiarkan pelajar-pelajar ini menaiki bot.
"Walaupun sepanjang Sungai Golok telah dipagari dengan kawat berduri namun ada pihak yang telah membuat laluan khas kemudian ditutup semula selepas dilalui pelajar," katanya.
Sementara itu pelajar yang ditemui dan ingin dikenali sebagai Ahmad, 16, memberitahu, lima rakannya antara yang ditahan pada Ahad.
Menurut dia, rakan-rakannya itu telah dibebaskan malam tadi atas jaminan polis.
"Saya dimaklumkan mereka semua berada dalam keadaan trauma dan tertekan dengan kejadian semalam.
"Ini kerana ia merupakan kali pertama mereka ditahan pihak berkuasa," katanya.
Sebelum itu Sinar Harian pada Ahad melaporkan seramai 34 pelajar ditahan oleh PGA selepas dikesan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand ke sini melalui pangkalan haram untuk ke sekolah.
Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 16 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.30 pagi.
"Siasatan awal mendapati kesemua mereka terdiri daripada 12 perempuan dan 22 lelaki dikesan menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram di sini.
"Mereka merupakan warganegara Malaysia yang tinggal di Selatan Thailand namun bersekolah di Rantau Panjang," katanya kepada pemberit

