JPN kumpul maklumat pelajar ditahan rentas sempadan di Sungai Golok

12 Apr 2026 • 6:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
JPN Kelantan sedang mengumpulkan maklumat lanjut mengenai 34 pelajar dari beberapa buah sekolah di Rantau Panjang yang ditahan PGA selepas melakukan aktiviti rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok pada Ahad.

KOTA BHARU - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan sedang mengumpulkan maklumat lanjut mengenai 34 pelajar dari beberapa sekolah di Rantau Panjang yang ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas melakukan aktiviti rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok pada Ahad.

JPN ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

"Kita sedang kumpul maklumat semua 34 murid dan pelajar daripada sekolah mana," katanya ketika dihubungi.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seramai 34 pelajar ditahan oleh PGA selepas dikesan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand ke Rantau Panjang melalui pangkalan haram untuk ke sekolah pada Ahad.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 16 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.30 pagi.

"Siasatan awal mendapati kesemua mereka terdiri daripada 12 perempuan dan 22 lelaki dikesan menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram di sini.

"Mereka merupakan warganegara Malaysia yang tinggal di Selatan Thailand namun bersekolah di Rantau Panjang," katanya kepada pemberita.