RANTAU PANJANG - Seramai 34 pelajar ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dikesan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand ke sini melalui pangkalan haram untuk ke sekolah pada Ahad.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 16 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.30 pagi.
"Siasatan awal mendapati kesemua mereka terdiri daripada 12 perempuan dan 22 lelaki dikesan menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram di sini.
"Mereka merupakan warganegara Malaysia yang tinggal di Selatan Thailand namun bersekolah di Rantau Panjang," katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, tiada sebarang pengecualian termasuk pelajar sekolah dalam aspek rentas sempadan menggunakan pangkalan haram.
Ujarnya, sesiapa sahaja akan ditahan jika didapati melalui jalan yang tidak diwartakan.
Ahmad Radzi memberitahu, kesemua pelajar ditahan mengikut Seksyen Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.
"Kes terbabit diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
"Kami berharap pihak terbabit termasuk ibu bapa perlu mengambil tindakan bagi menangani isu murid atau pelajar merentas Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang," katanya.


