
KUALA LUMPUR: Selama 34 tahun, seorang anak memilih untuk tidak mendedahkan latar belakang sebenar bapanya yang pernah berkhidmat dalam unit khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Namun, selepas bapanya pergi buat selama-lamanya, kisah pengorbanan dan pengalaman arwah mula dikongsi oleh mereka yang pernah mengenalinya.
Perkara itu dikongsikan anak arwah menerusi akaun Threads @liadally, selepas pemergian bapanya, Sub Inspektor (B) Mohd Dalila Haji Mansor.
Menurutnya, keluarga mereka sejak kecil sudah diajar supaya tidak menghebahkan identiti atau unit yang pernah disertai ahli keluarga yang beruniform.
“Kami diajar dari kecil, tidak mengembar-gemburkan identiti ahli keluarga yang join apa-apa unit beruniform.”
Baru lima hari bersara
Apa yang lebih menyentuh hati, menurut anaknya, arwah baru sahaja bersara lima hari sebelum meninggal dunia.
Perkongsian berkenaan turut mendapat perhatian ramai apabila rakan, bekas rakan sekerja dan individu yang pernah mengikuti kursus bersama arwah tampil meninggalkan ucapan takziah serta berkongsi kenangan masing-masing di Threads.
Antaranya, pengguna Threads @hafizuljamalil berkongsi bahawa beliau pernah menghadiri kursus Prosiding & Siasatan Tatatertib bersama arwah di PSP Terengganu dan menyifatkan arwah sebagai seorang yang baik.
Pengguna @anisbilah pula mengenang arwah sebagai seorang anggota dan guru yang hebat, selain menyatakan beliau baru sahaja mengambil kursus SCUBA bersama arwah.
Pernah 22 tahun dalam 69 Komando
Latar belakang arwah bagaimanapun bukan sekadar diketahui melalui perkongsian netizen.
Dalam profil yang diterbitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2021, Mohd Dalila Haji Mansor sendiri menceritakan bahawa beliau pernah berkhidmat selama 22 tahun dalam Unit 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas (PGK).
PDRM dalam perkongsian bertajuk Sisi Dimensi Di Sebalik Seragam: Jurulatih Skuba Kebanggaan PDRM turut merekodkan pengalaman beliau bertugas di beberapa bahagian lain termasuk Sekolah Latihan Pasukan Gerakan Am, JIPS, JSJN Bukit Aman dan Balai Polis Cheras.
Dari 69 Komando ke dunia selam skuba
Menurut laporan Majoriti pada September 2024, Mohd Dalila mula mempelajari selam skuba ketika berusia 20 tahun selepas menyertai 69 Komando.
Beliau bersama lima anggota lain ketika itu mengambil inisiatif mempelajari teknik menyelam sehingga akhirnya membantu membawa kepada penubuhan Unit Selam Tempur 69 Komando pada 1990.
Laporan Majoriti turut menyebut beliau pernah terlibat dalam beberapa misi khas termasuk operasi menyelam untuk membuat intipan terhadap penjenayah lanun di sekitar Semporna, Sabah.
Dalam bidang selam skuba pula, arwah menerima pengiktirafan sebagai Instructor Examiner RAID, malah menurut Majoriti, beliau merupakan individu Melayu pertama yang menerima pengiktirafan berkenaan di peringkat antarabangsa pada 2012 serta pemeriksa tenaga pengajar pertama di Asia.
Beliau turut mempunyai pusat latihan selam, DM Skuba, yang beroperasi di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), menurut laporan sama.
“Minggu lepas kami sambut persaraan cik”
Dalam satu video TikTok yang dikongsikan akaun @ashrafizah, suasana ketika rakan-rakan menyambut persaraan arwah turut dirakam.
Video berkenaan memaparkan rakan-rakan mengiringi dan mengucapkan selamat tinggal kepada arwah, dengan kapsyen, “Minggu lepas, kami sambut persaraan cik.”
Perkongsian itu kemudiannya menerima ribuan tanda suka dan ratusan komen daripada mereka yang mengenali arwah.
Turut dikongsikan video ketika jenazah arwah dihantar ke tanah perkuburan. Dalam ruangan komen, beberapa individu mendakwa arwah meninggal dunia selepas melakukan aktiviti menyelam.
Bagaimanapun, TMU tidak dapat mengesahkan punca kematian tersebut secara bebas dan perkara itu tidak dinyatakan dalam sumber rasmi yang dirujuk.
“Tak sempat rehat betul lepas bersara”
Antara komen yang menyentuh perhatian datang daripada pengguna TikTok @kopi0kurangGule, yang menulis bahawa arwah seolah-olah tidak sempat berehat selepas bersara sebelum dijemput Ilahi.
Seorang lagi pengguna, @malaccaboy97, pula mengakui baru teringat video persaraan arwah yang disifatkannya berlaku hanya sekitar satu atau dua minggu sebelum berita pemergian itu.
Di Threads pula, mereka yang pernah berurusan dengan arwah turut menggambarkan beliau sebagai seorang yang berilmu, baik hati, tidak sombong dan gemar berkongsi pengetahuan.
Bagi keluarga, identiti yang selama ini disimpan bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan kepada umum, sebaliknya sebahagian daripada prinsip dan keselamatan yang mereka pegang sejak sekian lama.
Namun selepas pemergian arwah, kisah hidupnya mula diceritakan oleh orang yang pernah bekerja, belajar dan berkongsi pengalaman bersamanya.
Daripada seorang ayah yang identitinya disimpan selama puluhan tahun, Mohd Dalila akhirnya dikenang bukan sahaja oleh keluarga, tetapi juga oleh rakan seperjuangan, anak murid dan mereka yang pernah menerima ilmu daripadanya.
Al-Fatihah buat Allahyarham Sub Inspektor (B) Mohd Dalila Haji Mansor. – The Malaysian Update
The post 34 Tahun Simpan Identiti Ayah, Selepas Pemergian Baru Ramai Kenang Jasa Arwah appeared first on The Malaysian Update.





![[VIDEO] Wanita kahwini semula bekas suami terlantar sakit](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-05-at-5.04.04-PM-1024x768.jpeg)