
KOTA BHARU – Seorang jururawat yang parah selepas ditikam sebanyak enam kali oleh suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, Kadok di sini malam kelmarin dipercayai pernah meminta cerai daripada lelaki tersebut.
Anak mangsa yang mahu dikenali sebagai Nik, 19, berkata, ibunya turut beberapa kali menerima ugutan bunuh daripada suspek yang merupakan bapa tiri ketika berlaku pertengkaran selepas menyatakan hasrat tersebut.
Menurutnya, sebelum ini, ibunya yang berusia 44 tahun pernah membuat laporan polis dan mendakwa suspek sentiasa memerhati pergerakan mangsa dan ahli keluarga lain.
“Dia pernah mengugut mahu membunuh ibu jika meninggalkannya. Ibu juga pernah memaklumkan mahu berpisah, tetapi dia enggan menceraikannya.
“Kami tidak menyangka dia benar-benar sanggup bertindak sedemikian dan melakukan apa yang pernah diugutnya sebelum ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Nik memberitahu, ketika kejadian, neneknya yang berusia 78 tahun cuba membantu ibunya, namun turut mengalami kecederaan pada bahagian lengan dan jari.
Menurutnya, ibunya bernasib apabila adik menolak suspek sehingga pisau berkenaan patah sebelum bapa tirinya itu melarikan diri.
“Keadaan ibu mungkin lebih parah sekiranya pisau yang digunakan suspek untuk menikamnya tidak patah.
“Meskipun mengalami kecederaan parah, ibu masih mampu bertindak pantas dengan menekup bahagian luka bagi menahan pendarahan sebelum mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Nik berkata, suspek itu terus lari bersembunyi di bawah rumah selepas menikam ibunya.
Tambahnya, keadaan ibunya ketika ini stabil dan menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang penganggur menyerah diri kepada polis selepas dipercayai menikam isterinya sebanyak enam kali menggunakan sebilah pisau pada anggota badan wanita itu di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, Kadok di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa yang merupakan seorang jururawat berusia 44 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan leher. – KOSMO! ONLINE
The post Jururawat kena tikam dengan suami lepas minta cerai appeared first on Kosmo Online.






