EXCO gesa isu peruntukan SUKMA Selangor dibangkit di Parlimen

5 Aug 2026 • 4:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

EXCO gesa isu peruntukan SUKMA Selangor dibangkit di Parlimen

SHAH ALAM, 5 OGOS: EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi mencadangkan Ahli Dewan Negeri (ADN) yang juga Ahli Parlimen membangkitkan isu peruntukan Persekutuan bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, sehingga kini Kerajaan Persekutuan masih belum menyalurkan sebarang peruntukan kepada Selangor walaupun permohonan rasmi telah dikemukakan.

Mohd Najwan berkata, Ahli Parlimen yang turut menjadi ADN iaitu Dato' Seri Amirudin Shari (Gombak) dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Kuala Langat) wajar membawa perkara itu ke peringkat Parlimen.

"Saya telah menghantar surat kepada bekas Menteri Belia dan Sukan yang kini Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, serta Menteri Belia dan Sukan sekarang, Mohammed Taufiq Johari.

"Pada peringkat awal tiada maklum balas diterima. Selepas menteri baharu dilantik, saya menghantar semula surat memohon peruntukan. Walaupun mendapat jawapan, tiada sebarang peruntukan diberikan," katanya ketika sesi soal jawab pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim, yang bertanya sama ada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS), memberikan alasan mengapa tiada peruntukan disalurkan kepada Selangor sebagai tuan rumah SUKMA 2026.

Mohd Najwan berkata, Selangor dipilih sebagai tuan rumah SUKMA 2026 pada 2024 dan sejak itu Kerajaan Negeri telah berusaha mendapatkan bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan.

Pada Mei lalu, KBS memaklumkan menerusi surat rasmi bahawa tiada peruntukan kewangan secara langsung akan disalurkan kepada Selangor bagi penganjuran temasya itu, selaras dengan langkah penjimatan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan susulan konflik di Asia Barat.

Sebagai ganti, Kerajaan Persekutuan bersetuju menyediakan penggunaan kemudahan miliknya serta menanggung kos ujian antidoping menerusi Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS).

Mohd Najwan berkata, Selangor kini menampung kos penganjuran SUKMA 2026 menggunakan dana Kerajaan Negeri serta tajaan korporat, namun menyifatkan keadaan itu sebagai satu amalan yang kurang sihat bagi penganjuran SUKMA pada masa hadapan.

"Kelantan akan menjadi tuan rumah SUKMA 2028. Kita berharap negeri itu juga dapat menjadi tuan rumah yang cemerlang dan Kerajaan Persekutuan akan menyediakan peruntukan kepada semua penganjur SUKMA selepas ini," katanya.

Beliau turut mendedahkan Sarawak, selaku tuan rumah SUKMA 2024, dilaporkan menerima hampir RM50 juta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, manakala keseluruhan kos penganjurannya melebihi RM250 juta.

Terdahulu, Mohd Najwan memaklumkan Selangor berjaya mengurangkan kos penganjuran SUKMA dan Para SUKMA 2026 daripada anggaran RM203 juta kepada kira-kira RM50 juta menerusi langkah penjimatan, selain memperoleh hampir RM8 juta tajaan korporat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved