
Kuala Lumpur: Penduduk Sabah dan Sarawak melihat perwakilan 35 peratus kerusi di Parlimen – yang kini giat diperjuangkan untuk dikembalikan – sama penting dengan kontrak sosial berkaitan hak istimewa orang Melayu demi menjamin Malaysia yang adil dan stabil.
“Kontrak sosial pertama sejak 1957 ialah hak dan keistimewaan orang Melayu perlu dipertahankan dan diterima semua pihak ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
“Pada 1963, Tanah Melayu menandatangani Perjanjian Malaysia bersama Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura untuk membentuk Malaysia.
“Persefahaman jelas ketika itu ialah satu pertiga daripada kerusi Parlimen Malaysia yang baharu akan diperuntukkan supaya ketiga-tiga wilayah itu dapat melindungi kepentingan masing-masing dalam persekutuan yang diperluas.
“Persefahaman politik itu turut diiktiraf Parlimen selama dua tahun sehingga Singapura disingkirkan daripada Malaysia pada 1965,” kata Ketua Pengarang Daily Express Datuk James Sarda, JP“Jika kedua-dua ‘kontrak sosial’ penting ini tidak dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan atau Perjanjian Malaysia, hal itu kerana pengasas negara kita ialah golongan budiman yang berpegang pada kepercayaan antara satu sama lain,” katanya kepada media pada Selasa, selepas pelancaran buku Wisdom of the First Malaysians di Wisma Berita RTM, Angkasapuri.
James diminta mengulas lanjut ucapannya sebelum itu mengenai harapan penduduk di negeri-negeri Borneo terhadap kedudukan mereka sebagai rakyat Malaysia. Majlis pelancaran buku itu disempurnakan Menteri Komunikasi Datuk Seri Ahmad Fahmi Fadzil.
Buku berkenaan merupakan cetakan semula himpunan ucapan penting kumpulan pertama pemimpin Malaysia di Parlimen dan di luar Parlimen mengenai pembentukan Malaysia. Karya itu pertama kali diterbitkan pada 1967 oleh wartawan perintis, mendiang Victor Morais.
Penerbitan semula dengan tajuk baharu itu merupakan inisiatif Daily Express, Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) dan Commonwealth Association of Leadership Malaysia (CALM), dengan sokongan Kerajaan Sabah.
Usaha itu bertujuan memastikan generasi akan datang dapat mengakses ucapan berkenaan, yang sebahagiannya tidak lagi tersedia. Penerbitan itu ditaja Seri Padi Maju Sdn Bhd dan Datuk Chee Chi Nyen.
Sehubungan itu, James berkata pandangan sesetengah pihak di Semenanjung bahawa nisbah 35 peratus kerusi tidak dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau Perlembagaan Persekutuan, sekali gus menafikan hak Sabah dan Sarawak terhadap perwakilan itu, adalah tidak tepat.
Beliau, yang pernah memenangi tiga anugerah kewartawanan tertinggi negara, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyedari tuntutan Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan satu pertiga perwakilan di Parlimen tidak lagi boleh diketepikan kerajaan Persekutuan.
James juga berkata kerajaan Perpaduan Madani ketika ini paling terbuka dalam memenuhi hak dan keistimewaan Sabah serta Sarawak di bawah MA63.
“Saya percaya saya bukan seorang sahaja yang berpendapat bahawa rasa kebersamaan rakyat kedua-dua negeri sebagai rakyat Malaysia kini berada pada tahap tertinggi,” katanya.
James merupakan penerima anugerah sulung Kewartawanan Penyiasatan Malaysia oleh Institut Akhbar Malaysia, menerusi usaha menyiasat semula nahas pesawat Double Six pada 6 Jun 1976 yang mengorbankan Ketua Menteri ketika itu, Tun Fuad Stephens, dan 10 individu lain, termasuk separuh daripada anggota Kabinet Berjaya yang baharu.
Siri laporan penyiasatannya mendorong kerajaan Malaysia dan Australia menyahklasifikasikan laporan masing-masing mengenai hasil siasatan nahas itu selepas 47 tahun.
“Perkara ini juga hanya dapat dilakukan apabila kerajaan Madani bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa kerajaan Persekutuan tidak boleh terus mengabaikan tuntutan rakyat Sabah, khususnya keluarga mangsa, untuk mendapatkan penjelasan dan penutupan kes,” katanya.
James berkata tuntutan keluarga mangsa selama hampir 50 tahun sebelum itu tidak dipenuhi oleh setiap perdana menteri tanpa sebarang penjelasan kepada rakyat Sabah.
“Setiap kali Ahli Parlimen Sabah membangkitkan perkara ini di Dewan Rakyat, mereka seolah-olah tidak diendahkan, mungkin kerana Sabah hanya mempunyai perwakilan yang kecil, iaitu 23 peratus selepas Singapura disingkirkan.
“Mungkin kerana menyedari Parlimen tidak banyak membantu, bekas Ketua Menteri Tan Sri Harris Salleh memutuskan untuk membawa kerajaan Persekutuan ke mahkamah berhubung keengganan mendedahkan hasil siasatan nahas Double Six.
“Harris kecewa kerana orang ramai menganggap wujud usaha menutup perkara sebenar dan beliau mungkin mempunyai kaitan dengan tragedi itu kerana menggantikan Stephens sebagai Ketua Menteri hanya beberapa jam selepas kejadian pada 6 Jun 1976,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud baru-baru ini berkata perbincangan mengenai penambahan kerusi Parlimen bagi kedua-dua negeri itu akan dipercepatkan.
Beliau berkata perkara itu perlu ditangani secepat mungkin dan tidak boleh ditangguhkan sehingga mesyuarat seterusnya jawatankuasa teknikal yang memantau pelaksanaan MA63.


.jpg)

