.jpg)
Kota Kinabalu: Mereka yang menentang hak Sabah dan Sarawak untuk mendapat 35 peratus perwakilan di Parlimen – selaras dengan kedudukan sebagai rakan setara ketika pembentukan Malaysia pada 1963 — perlu mengambil iktibar daripada ikrar Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman bahawa negeri-negeri Borneo tidak akan menjadi tanah jajahan Malaya.
Kata-kata Tunku sendiri seharusnya menjawab pendirian Datuk Zaid Ibrahim mengenai kedua-dua negeri itu, kata Pengarah Komunikasi Strategik Warisan Christopher Masudal dan Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis.
Mereka berkata bekas Menteri Undang-Undang itu tidak boleh mengutamakan kepentingan Malaya sambil mengetepikan jaminan sejarah yang meyakinkan Sabah dan Sarawak untuk membentuk Persekutuan Malaysia.
Tunku, Perdana Menteri pertama, menyentuh kebimbangan mengenai dominasi Malaya dalam Dewan Rakyat pada 28 April 1962. Rekod rasmi Parlimen mengesahkan perbahasan pada tarikh berkenaan.
“Ini bukan slogan yang dicipta kemudian,” kata Masudal dan Isnaraissah.
“Ia adalah jaminan daripada ‘arkitek’ Malaysia sebelum MA63. Sabah dan Sarawak bersetuju membentuk Persekutuan Malaysia bersama Malaya dan Singapura atas dasar bahawa mereka adalah rakan kongsi bukan wilayah bawahan.”Mereka berkata Zaid berhak mempertahankan kepentingan Semenanjung tetapi mesti berbuat demikian berdasarkan sejarah yang lengkap.
Mereka berkata gesaan untuk meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen bukan usaha untuk mengurangkan kedudukan Malaysia Barat, orang Melayu, Islam atau Raja-Raja Melayu, yang kedudukan perlembagaan mereka dilindungi.
“Ia adalah mengenai menghormati persetujuan perlembagaan yang menjadi asas pembentukan Persekutuan Malaysia,” kata mereka.
Apabila Malaysia dibentuk pada 1963, Malaya mempunyai 104 daripada 159 kerusi Dewan Rakyat. Sabah, Sarawak dan Singapura secara keseluruhannya mempunyai 55 kerusi, atau kira-kira 34.6 peratus.
“Malaya mempunyai majoriti biasa tetapi tidak boleh meminda Perlembagaan tanpa sokongan daripada rakan pengasas yang lain,” kata mereka.
“Ini merupakan maksud praktikal keseimbangan perlembagaan dalam persekutuan baharu itu.” Selepas Singapura dikeluarkan daripada Malaysia pada 1965, mereka berkata keseimbangan itu hilang.
Sabah dan Sarawak kini mempunyai 56 daripada 222 kerusi Parlimen atau hanya kira-kira 25.2 peratus.
Pindaan perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga kini boleh diluluskan tanpa sokongan seorang pun Ahli Parlimen Sabah atau Sarawak, kata mereka.
“Penyelesaian yang sah ialah pindaan kepada Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan untuk meningkatkan kadar perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen serta memulihkan penyertaan Borneo yang bermakna dalam keputusan berperlembagaan,” kata mereka.



