35 strategi, 429 ikhtiar tangani kos sara hidup rakyat

LocalBusiness & Finance
24 Oct 2026 • 3:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 35 strategi, 429 ikhtiar tangani kos sara hidup rakyat
Anwar (tengah) melancarkan NCLAP30 di pekarangan Kompleks Sukan Hang, Melaka pada Sabtu.Foto: Sinar.

MELAKA - Kerajaan melancarkan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) sebagai kerangka tindakan nasional bagi tempoh lima tahun untuk memperkukuh pengurusan kos sara hidup rakyat secara menyeluruh dan bersepadu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelan itu menggariskan 35 strategi dan 429 ikhtiar sara hidup yang merangkumi pelbagai inisiatif sedia ada serta program baharu.

Menurutnya, NCLAP30 dibangunkan bagi meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat menerusi pendekatan yang melibatkan pelbagai kementerian, agensi kerajaan serta rakan strategik.

“Pelan ini akan digerakkan melalui lapan kluster strategik iaitu pendapatan, makanan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, perumahan, utiliti dan umum.

“Pelaksanaannya memberi tumpuan kepada dua keutamaan utama iaitu meningkatkan pendapatan sara hidup rakyat serta menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan asas,” katanya pada sidang media pelancaran NCLAP30 di pekarangan Kompleks Sukan Hang Jebat di sini pada Sabtu.

Perasmiannya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Armizan berkata, pelan berkenaan turut berperanan memandu pelaksanaan dasar, program dan inisiatif berkaitan kos sara hidup supaya lebih berkesan, terselaras serta mampu memberikan manfaat optimum kepada rakyat.

Beliau berkata, NCLAP30 merupakan dokumen dinamik yang akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan strategi dan program yang dilaksanakan kekal relevan dengan perubahan sosioekonomi serta keperluan semasa rakyat.

Katanya, pelan itu juga sejajar dengan hala tuju dasar utama negara termasuk Kerangka Ekonomi Madani dan strategi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

“Bagi memastikan pelaksanaannya lebih menyeluruh dan bersepadu, Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Bilangan 2/2026 pada 29 September lalu turut memutuskan supaya peranan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) diperkasakan.

“Langkah itu merangkumi pemantauan dan penelitian terhadap pelaksanaan semua program serta inisiatif berkaitan sara hidup yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi,” katanya.

Armizan berkata, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan pelan berkenaan mencapai matlamatnya dalam menangani isu kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved