PM lancar Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030

LocalPolitics
24 Oct 2026 • 4:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PM lancar Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan buku Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP2030) di Stadium Hang Jebat pada Sabtu. Foto Bernama

MELAKA - Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggariskan 429 ikhtiar menerusi 35 strategi bagi menangani tekanan kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Pelan tindakan selama lima tahun itu, yang merangkumi lapan kluster strategik, menjadi kerangka tindakan nasional bagi menyelaras pelaksanaan pelbagai inisiatif berkaitan kos sara hidup merentasi kementerian dan agensi kerajaan menerusi pendekatan keseluruhan negara.

Kluster berkenaan ialah pendapatan, makanan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, perumahan, utiliti dan umum dengan pelaksanaannya turut melibatkan kerjasama sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pelan itu menetapkan dua keutamaan, iaitu meningkatkan pendapatan rakyat serta menstabilkan harga barangan serta perkhidmatan asas.

Beliau berkata pelan itu merangkumi usaha meneruskan dan menambah baik inisiatif sedia ada termasuk komitmen fiskal selain memperkenal ikhtiar baharu bagi menangani isu kos sara hidup.

"Ia juga bersifat dinamik bertujuan memastikan pelan tindakan berkenaan kekal relevan dan boleh disesuaikan dalam mendepani cabaran domestik selain ketidaktentuan geopolitik serta geoekonomi global,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Armizan berkata, NCLAP30 turut selari dengan hala tuju dasar utama negara termasuk Kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13.

Dalam pada itu, beliau berkata Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) diberi mandat lebih luas untuk memantau pelaksanaan semua ikhtiar sara hidup merentasi kementerian dan agensi kerajaan.

Armizan berkata sebelum ini, peranan NACCOL tertumpu pada penelitian dan pertimbangan inisiatif baharu serta isu berkaitan kos sara hidup namun kini turut merangkumi pemantauan menyeluruh terhadap pelaksanaan inisiatif yang telah digariskan.

"Matlamatnya ialah supaya 429 ikhtiar sara hidup yang digariskan ini dapat dilaksanakan dengan sehabis baik, secara teratur, bersasar dan tidak ada pertindihan untuk mencapai keberhasilan yang optimum,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan pelan itu turut memerlukan kerjasama sektor swasta, NGO dan masyarakat bagi memastikan manfaat setiap inisiatif dapat dirasai rakyat secara menyeluruh.

Terdahulu, majlis pelancaran itu berlangsung di Kompleks Sukan Hang Jebat, Krubong di sini dan turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Fuziah Salleh. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved