372 ditahan, rampas dadah bernilai hampir RM50,000 dalam Op Tapis Khas Perak

27 Nov 2026 • 7:53 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: 372 ditahan, rampas dadah bernilai hampir RM50,000 dalam Op Tapis Khas Perak

IPOH: Sebanyak 372 individu ditahan manakala pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM49,648.30 dirampas dalam Op Tapis Khas Kontinjen Perak yang dilaksanakan serentak di seluruh negeri selama tiga hari bermula 23 Nov lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata operasi melibatkan 25 pegawai kanan dan 223 pegawai rendah polis itu menumpukan usaha membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah di lokasi dikenal pasti sebagai sarang penagihan.

Beliau berkata lokasi berkenaan termasuk di tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), ladang swasta, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), rumah pangsa serta jeti nelayan.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 14 hingga 70 tahun terdiri daripada 356 lelaki dan 16 wanita merangkumi 339 warga tempatan serta 33 warga asing iaitu Thailand (14), Indonesia (13), Myanmar (lima) dan Vietnam (seorang).

“Daripada keseluruhan tangkapan tersebut, 66 orang telah ditahan atas kesalahan pengedaran dadah, 206 orang atas kesalahan memiliki dadah, manakala 100 orang penagih disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam kenyataan semalam. 

Mohd Alwi berkata tiga individu dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki turut berjaya ditangkap, selain mengenal pasti dua penagih dadah tegar yang bakal diambil tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952.

Beliau berkata rampasan dadah dalam operasi berkenaan pula melibatkan 288.61 gram (g) ganja, syabu (251.95g), heroin (212.98g), ketamin (17.74g), pil Erimin 5 (7.46g), daun ketum (2,300g), cecair ketum (126.10 liter) serta kodein (0.18 liter).

“Selain itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak turut menyita sebuah kenderaan dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan rampasan RM4,700.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama yang berterusan antara masyarakat dengan agensi penguatkuasaan, khususnya pihak PDRM,” katanya.

Justeru, Mohd Alwi menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved