
GEORGE TOWN : Seramai 38,000 wanita dijangka menerima manfaat daripada pelaksanaan Program Subsidi Ujian Mamogram bermula tahun depan menerusi peruntukan sebanyak RM9 juta seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2027, baru-baru ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan itu juga adalah lebih tinggi iaitu peningkatan sebanyak RM1 juta berbanding RM8 juta yang disediakan untuk tujuan sama pada tahun ini.
“Program subsidi untuk ujian mamogram ini sebenarnya telah diperkenalkan sejak 2007 bertujuan menggalakkan lebih ramai wanita menjalani saringan kanser payudara bagi membolehkan penyakit berkenaan dikesan pada peringkat lebih awal.
“Jadi, untuk tahun depan, kita sasarkan wanita yang berusia antara 40 hingga 70 tahun khususnya daripada kumpulan berpendapatan rendah iaitu yang mempunyai isi rumah berpendapatan RM10,000 dan ke bawah untuk mengikuti program ini.
“Mereka juga akan diberi keutamaan untuk menjalani ujian mamogram secara percuma,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Kebangsaan 2026 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), hari ini.
Tambah Nancy, wanita daripada isi rumahnya berpendapatan melebihi RM10,000 juga boleh menikmati subsidi sebanyak RM50 untuk program berkenaan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Sementara itu, beliau memberitahu, seramai 595,143 wanita di seluruh negara telah menjalani ujian mamogram sehingga 30 September lalu, dengan sebanyak 1,334 kes kanser payudara dikesan.
“Di Pulau Pinang sahaja, seramai 54,549 wanita turut menjalani saringan berkenaan bagi tempoh yang sama dengan 93 kes kanser payudara dikesan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.-UTUSAN
The post 38,000 wanita dijangka terima manfaat subsidi mamogram tahun depan appeared first on Utusan Malaysia.






