
GEORGE TOWN – Seramai 38,000 wanita bakal menerima manfaat menerusi Program Subsidi Ujian Mamogram dengan peruntukan RM9 juta yang disediakan kerajaan, tahun depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan program berkenaan menerusi Belanjawan 2027 meningkat kepada RM1 juta berbanding RM8 juta, tahun ini.
Menurutnya, program yang dilaksanakan sejak 2007 itu merupakan usaha berterusan kerajaan bagi menggalakkan wanita menjalani saringan kanser payudara dan mendapatkan pengesanan awal.
“Golongan wanita berusia 40 hingga 70 tahun, khususnya daripada kumpulan berpendapatan rendah, menjadi sasaran utama program berkenaan.
“Keutamaan diberikan kepada wanita daripada isi rumah berpendapatan RM10,000 dan ke bawah yang layak menjalani ujian mamogram secara percuma. Tahun depan, seramai 38,000 wanita bakal menerima manfaat daripada Program Subsidi
Ujian Mamogram ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Kebangsaan 2026 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, bagi mereka yang berpendapatan melebihi RM10,000, subsidi sebanyak RM50 turut disediakan, tertakluk kepada syarat program.
Beliau memberitahu lagi, tahap kesedaran wanita terhadap kepentingan pemeriksaan kesihatan payudara perlu terus dipertingkatkan kerana masih ada yang takut atau tidak mengetahui kepentingan menjalani saringan.
“Kadangkala mereka tahu tentang pemeriksaan ini tetapi takut untuk melakukannya. Sebab itu program seperti ini penting bagi memberi galakan dan meningkatkan kesedaran wanita supaya lebih berani menjalani pemeriksaan.
“Sebab itu berkawan dengan orang yang beranilah, yang telah melaluinya, pernah menjalani pemeriksaan supaya dapat memberi semangat kepada kita,” katanya.
Justeru, beliau turut menggalakkan wanita mendapatkan maklumat daripada pihak berkaitan mengenai pemeriksaan yang sesuai mengikut umur dan keperluan kesihatan masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, Nancy berkata, sehingga 30 September 2026, seramai 595,143 wanita di seluruh Malaysia telah menjalani ujian mamogram, dengan 1,334 kes kanser payudara disahkan.
Di Pulau Pinang pula katanya, seramai 54,549 wanita telah menjalani saringan dan 93 kes kanser payudara telah dikesan. -KOSMO! ONLINE
The post 38,000 wanita bakal nikmati mamogram percuma tahun depan appeared first on Kosmo Online.






