IPOH – Sebanyak 4,283 permohonan kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu direkodkan di Perak bagi tempoh permohonan yang dibuka setakat 31 Mac lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, daripada jumlah itu, daerah Kinta Utara mencatatkan permohonan tertinggi iaitu seramai 1,595 murid.
Menurutnya, bagi murid berusia enam tahun yang akan memasuki umur tujuh tahun pula, jumlah permohonan direkodkan sebanyak 25,027 orang.
"Jika digabungkan kedua-dua kategori ini, jumlah keseluruhan permohonan adalah 29,310 murid di seluruh negeri.
"Bagaimanapun, berdasarkan unjuran Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri, kapasiti penempatan Tahun Satu di Perak adalah sebanyak 49,499,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rosli Abd Rahman (PN-Pasir Panjang) sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.
Khairudin berkata, berdasarkan kapasiti penempatan itu ia menunjukkan masih terdapat kekurangan hampir 19,000 tempat.
Jelasnya, ia membuktikan kapasiti sedia ada mencukupi untuk menampung kemasukan murid bagi kohort berkenaan.
Tambahnya, sistem permohonan secara dalam talian kini ditutup sementara dan akan dibuka semula bermula 1 Mei hingga 15 November ini.
"Jumlah permohonan dijangka akan terus meningkat dalam tempoh tersebut.
"Pada setiap tahun, Kementerian Pendidikan akan membuat Anggaran Belanjawan Mengurus (ABM) sekitar Jun atau Julai bagi menentukan keperluan berdasarkan data semasa," jelasnya.
Khairudin berkata, melalui anggaran itu, pelbagai keperluan termasuk kerusi, meja, buku teks dan guru akan diselaraskan bagi sesi persekolahan 2027.
Menurutnya, bagi tujuan itu, sesi libat urus telah dilaksanakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah bersama semua sekolah bagi menilai tahap kesiapsiagaan serta mengenal pasti keperluan sebenar di lapangan.
Katanya, pendekatan ini membolehkan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Perak memperoleh gambaran serta menilai tahap kesediaan menyeluruh berhubung kapasiti sedia ada serta cabaran yang dihadapi oleh pihak sekolah.
Beliau berkata, langkah penyelesaian yang telah dikenal pasti termasuklah mengoptimumkan penggunaan premis KPM sedia ada iaitu 411 sekolah yang terlibat.
Jelasnya, menukar fungsi bilik-bilik khas kepada bilik darjah, menyuraikan murid ke sekolah sekitar dan pembinaan Kabin Modul Ringkas Sementara turut akan dilaksanakan sebagai memastikan prasarana yang mencukupi serta menyokong pelaksanaan inisiatif ini secara menyeluruh dan berkesan
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar tidak bimbang mengenai isu kesesakan atau kekurangan tempat kerana perancangan telah dibuat dan kapasiti semasa masih mampu menampung keperluan murid, termasuk bagi kohort usia enam dan tujuh tahun.



