IPOH – Keperluan pembinaan sekolah berasrama penuh (SBP) di sesuatu kawasan perlu dibincangkan terlebih dahulu di peringkat daerah untuk diteliti dari segi kesesuaian sebelum sebarang cadangan dibawa ke peringkat lebih tinggi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setiap cadangan pembangunan termasuk pembinaan institusi pendidikan seperti SBP atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) perlu melalui Jawatankuasa Tindakan Daerah yang dipengerusikan pegawai daerah.
Menurutnya, perbincangan di peringkat tersebut penting bagi mengenal pasti keperluan sebenar serta lokasi yang bersesuaian untuk pelaksanaan projek berkenaan.
"Harus saya ingatkan ia mesti dibincangkan di peringkat daerah masing-masing. Jawatankuasa Tindakan Daerah yang dipengerusikan oleh DO (pegawai daerah) masing-masing hendaklah mempengerusikan jawatankuasa untuk tujuan pembangunan bagi daerah.
"Pandangan-pandangan yang disebutkan oleh Yang Berhormat Gunung Semanggol hendaklah diambil kira sebagai kaedah dan cara bagaimana kita boleh merangsangkan pembangunan kawasan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.
Razman terdahulu bertanyakan sama ada terdapat perancang untuk mewujudkan MRSM di daerah Kerian.
Sementara itu, Saarani menjelaskan, selain perancangan, faktor ketersediaan tanah turut menjadi keutamaan dalam menentukan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan.
"Tapi harus diingatlah, kena ada tanah. Kalau tanah itu tanah kerajaan negeri, ia lebih mudah.
"Tapi kalau tanah itu bukan tanah kerajaan negeri, ia akan melibatkan pengambilan dan kosnya akan jauh lebih tinggi," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui, kewujudan institusi pendidikan berasrama mampu memberi kesan positif kepada ekonomi setempat termasuk merancakkan aktiviti perniagaan.
Menurutnya, kehadiran pelajar, ibu bapa serta tenaga pengajar secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi terutama pada hujung minggu dan musim lawatan.
Beliau turut menggesa pihak berkaitan termasuk pegawai daerah untuk mengenal pasti lokasi bersesuaian bagi tujuan tersebut agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih seimbang di seluruh negeri.






