4,289 kes buli dalam tempoh enam bulan

14 Oct 2026 • 9:22 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 4,289 kes buli dalam tempoh enam bulan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,289 kes buli direkodkan di sekolah termasuk asrama bagi tempoh Mac hingga Ogos lalu dengan buli fizikal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,480 kes.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, 1,386 kes membabitkan buli lisan diikuti 243 kes buli bukan lisan dan 180 kes buli siber.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius setiap kejadian buli yang membabitkan murid sama ada di sekolah mahupun di asrama.

“Sehubungan itu, KPM terus memperkukuh pendekatan menangani buli secara menyeluruh, meliputi aspek penguatkuasaan, pengawasan persekitaran sekolah dan asrama, perlindungan mangsa, intervensi psikososial serta pembentukan karakter murid,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berkenaan bilangan kes buli di sekolah dan asrama sejak Akta Antibuli 2026 berkuat kuasa serta penambahbaikan pemantauan asrama, susulan pendedahan dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Fadhlina berkata, jumlah kes yang direkodkan menunjukkan usaha menangani buli perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhad kepada tindakan disiplin semata-mata.

“Setiap aduan perlu diberikan perhatian sewajarnya, disiasat mengikut tatacara yang ditetapkan dan diikuti dengan tindakan serta intervensi yang bersesuaian.

“Bagi memperkukuh keselamatan dan pemantauan di asrama, KPM sudah melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan,” katanya.

Daripada aspek pemantauan fizikal, beliau berkata, KPM memasang kamera litar tertutup (CCTV) di 200 sekolah berasrama pada tahun lalu dengan peruntukan RM3 juta.

Katanya, pada tahun ini, inisiatif berkenaan diteruskan menerusi pemasangan CCTV di 333 sekolah berasrama dengan peruntukan RM5 juta.

“Bagi Fasa Tiga pada 2027, sebanyak RM15 juta diperuntukkan untuk memperluas pemasangan CCTV kepada 1,000 sekolah di seluruh negara,” katanya.

Fadhlina berkata, pemantauan keselamatan tidak boleh bergantung pada kemudahan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu disokong pengawasan warga sekolah, kepekaan terhadap perubahan tingkah laku murid dan tindakan segera terhadap aduan.

Menurutnya, semua aspek itu penting bagi memastikan persekitaran asrama yang selamat serta membolehkan sebarang kejadian buli ditangani dengan sewajarnya. –UTUSAN

The post 4,289 kes buli dalam tempoh enam bulan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved