4,447 saman dikeluarkan JPJ Kedah menerusi Operasi PEWA

1 Oct 2026 • 2:13 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: 4,447 saman dikeluarkan JPJ Kedah menerusi Operasi PEWA

JPJ Kedah ingatkan pemilik kenderaan tidak boleh serahkan kenderaan kepada pemandu tanpa lesen sah, LKM atau insurans yang masih berkuat kuasa.

ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengeluarkan sebanyak 4,447 saman terhadap pemandu warga asing melalui Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dilaksanakan mulai 17 Jun lepas hingga semalam.

Pengarah JPJ Kedah Stien Van Ltam berkata dalam tempoh itu, sebanyak 164 kenderaan telah disita yang melibatkan 128 motosikal, 28 kereta dan lapan kenderaan lain.

“Bagi memperhebat lagi tindakan penguatkuasaan, Bahagian Penguatkuasa JPJ Kedah turut melaksanakan Ops Khas Gempur PEWA mulai 28 Nov tahun lepas. Dalam tempoh dua hari, sebanyak 115 kenderaan telah diperiksa dengan 28 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 16 kenderaan telah disita, melibatkan pemandu etnik Rohingya. Antara kesalahan utama yang dikesan ialah memandu tanpa lesen memandu yang sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan telah tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata selain tindakan terhadap pemandu warga asing, pihaknya turut memberikan perhatian kepada pemilik kenderaan warganegara Malaysia yang membenarkan warga asing memandu kenderaan milik mereka tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Beliau berkata antara kesalahan yang turut dikesan ialah membenarkan seseorang memandu tanpa lesen memandu yang sah, membenarkan kenderaan digunakan dengan LKM atau cukai jalan yang telah tamat tempoh serta membenarkan kenderaan digunakan tanpa perlindungan insurans yang sah atau telah tamat tempoh.

“JPJ Kedah ingin menegaskan bahawa pemilik kenderaan tidak boleh mengambil mudah atau menyerahkan kenderaan mereka kepada mana-mana individu untuk dipandu tanpa memastikan segala keperluan undang-undang dipatuhi,” katanya.

Dalam pada itu, Stien turut mengingatkan pemilik kenderaan supaya memastikan mana-mana individu yang diberi kebenaran untuk memandu kenderaan mereka memiliki lesen memandu yang sah, manakala kenderaan yang digunakan mempunyai LKM dan perlindungan insurans yang masih berkuat kuasa.

Beliau berkata kegagalan mematuhi peraturan yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pada masa yang sama, boleh meningkatkan risiko kepada keselamatan pemandu, penumpang serta pengguna jalan raya yang lain.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved