Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap individu tidak kiralah warganegara mahupun warga asing perlulah memiliki dokumen yang sah sekiranya mahu memandu di negara ini.
Bukan sekadar lesen sah sebaliknya kenderaan yang dipandu juga hendaklah dilengkapi cukai jalan yang masih aktif dan sebagainya. Mana-mana individu yang tidak mematuhinya boleh dikenakan tindakan undang-undang.
JPJ Kedah keluarkan saman 4,447 terhadap pemandu warga asing
Terbaharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah telah mengeluarkan sebanyak 4,447 saman terhadap pemandu warga asing.
Saman berkenaan dikeluarkan sepanjang Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dilakukan bermula 17 Jun lalu sehingga 30 September.
Menurut Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam saman yang dikeluarkan itu di atas bermacam-macam kesalahan mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Sebanyak 164 kenderaan disita oleh JPJ Kedah
Dalam masa sama sepanjang operasi itu dijalankan, JPJ juga telah bertindak menyita sebanyak 164 kenderaan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 128 membabitkan motosikal, 28 kereta dan lapan kenderaan lain.
“Bagi memperhebatkan lagi tindakan penguatkuasaaan, Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Kedah turut melaksanakan Ops Khas Gempur PEWA mulai 28 September.
“Bagi tempoh 28 hingga 30 September, sebanyak 115 buah kenderaan telah diperiksa, dengan 28 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” ujarnya.
Bukan hanya itu, sebanyak 16 buah kenderaan turut disita yang membabitkan pemandu warga Rohingnya.

Pelbagai kesalahan dilakukan antaranya tiada lesen sah
Antara kesalahan utama yang dikesan sepanjang operasi itu dilakukan adalah:
- Memandu tanpa lesen memandu yang sah
- Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan yang telah tamat tempoh
- Tiada perlindungan insurans yang sah
Pemilik kenderaan warga Malaysia benarkan warga asing pandu kenderaan tanpa patuhi peraturan
Tambah beliau lagi, selain tindakan ke atas pemandu warga asing, JPJ Negeri Kedah juga memberikan perhatian kepada pemilik kenderaan warganegara Malaysia yang membenarkan warga asing untuk memandu kenderaan milik mereka tanpa mematuhi peraturan yang sudah ditetapkan.
Antara kesalahan yang dikesan seperti:
- Membenarkan seseorang memandu tanpa lesen memandu yang sah
- Membenarkan kenderaan digunakan dengan LKM atau cukai jalan yang dah tamat tempoh
- Benarkan kenderaan digunakan tanpa perlindungan insurans yang sah atau telah tamat tempoh.
Pemilik kenderaan tak boleh pandang enteng beri kebenaran individu tanpa pastikan segala peraturan dipatuhi
“JPJ Negeri Kedah ingin menegaskan bahawa pemilik kenderaan tidak boleh mengambil mudah atau menyerahkan kenderaan mereka kepada mana-mana individu untuk dipandu tanpa memastikan segala keperluan undang-undang dipatuhi.
“Tanggungjawab memastikan pemandu dan kenderaan mematuhi peraturan bukan hanya terletak kepada pemandu, malah turut melibatkan pemilik kenderaan.”
Jelas Stien penguatkuasaan ini adalah langkah berterusan JPJ Negeri Kedah untuk memastikan semua pemandu termasuklah warga asing yang menggunakan kenderaan di jalan raya untuk mematuhi undang-undang serta peraturan yang sudah ditetapkan.
Mesti ada lesen yang sah, LKM dan insurans masih berkuat kuasa
Kata beliau, JPJ Negeri Kedah juga mengingatkan pemilik kenderaan untuk memastikan mana-mana individu yang dibenarkan membawa kenderaan mereka mempunyai:
- Lesen memandu yang sah
- Kenderaan digunakan ada LKM dan perlindungan insurans yang masih berkuat kuasa.
Menurutnya kegagalan dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan serta pada masa sama boleh meningkatkan risiko kepada keselamatan:
- Pemandu
- Penumpang
- Pengguna jalan raya lain
“Sehubungan itu, JPJ Negeri Kedah akan terus mempergiatkan operasi secara berfokus dan berterusan di seluruh negeri bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang serta memastikan aspek keselamatan dan ketertiban di jalan raya sentiasa diberi keutamaan,” katanya.





