
ALOR SETAR – Sebanyak 4,447 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap pemandu warga asing menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa) yang dilaksanakan di negeri ini sejak 17 Jun lalu.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata,
dalam tempoh sama, sebanyak 164 kenderaan disita membabitkan 128 motosikal, 28 motokar dan lapan kenderaan lain.
Katanya, tindakan penguatkuasaan itu turut dipergiat menerusi Ops Khas Gempur Pewa yang bermula 28 September lalu.
“Dalam operasi selama tiga hari sehingga 30 September itu, sebanyak 115 kenderaan diperiksa dengan 28 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Selain itu, sebanyak 16 kenderaan disita membabitkan pemandu etnik Rohingya,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, antara kesalahan utama dikesan ialah memandu tanpa lesen memandu sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans sah.
“Kita turut mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan warganegara Malaysia yang membenarkan warga asing memandu kenderaan mereka tanpa mematuhi peraturan ditetapkan.
“Pemilik kenderaan tidak boleh mengambil mudah atau menyerahkan kenderaan mereka kepada mana-mana individu untuk dipandu tanpa memastikan segala keperluan undang-undang dipatuhi,” ujarnya.
Beliau mengingatkan pemilik kenderaan supaya memastikan individu yang diberi kebenaran memandu mempunyai lesen sah, manakala kenderaan berkenaan mempunyai LKM dan perlindungan insurans yang masih berkuat kuasa. – KOSMO! ONLINE
The post 4,447 saman pemandu warga asing, 164 kenderaan disita appeared first on Kosmo Online.




