
BANGKOK – Empat lelaki didakwa di mahkamah selepas klip video tular memaparkan sebuah motosikal menunda besen plastik besar di sepanjang jalan dilanda banjir di daerah Don Mueang, Bangkok, sehingga membahayakan pengguna jalan raya dan pejalan kaki, lapor saluran berita Thaiger
Rakaman video kejadian menunjukkan sebuah motosikal menunda besen pembancuh simen yang dinaiki seorang lelaki di Jalan Thet Rachan, Don Mueang.
Besen tersebut hanyut ke arah sebuah kenderaan dari arah bertentangan sebelum video itu berakhir.
Klip video itu mencatatkan 2.2 juta tontonan sebelum dipadamkan.
Pegawai dari Balai Polis Don Mueang menjalankan siasatan ke atas rakaman itu dan mengenal pasti empat lelaki terbabit sebagai Anuchit, 22, Amphon, 22, Sarawut, 22, dan Arnon, 23.
Anuchit merupakan lelaki yang duduk di dalam besen tersebut, manakala Sarawut menunggang motosikal untuk menundanya.
Dua lagi suspek dilaporkan menaiki sebuah lagi motosikal dan merakam video berkenaan.
Pasukan penyiasat telah menghubungi keempat-empat lelaki itu dan meminta mereka bertemu pegawai polis untuk sesi soal siasat.
Mereka mengakui tindakan tersebut dilakukan atas dasar kecuaian dan tidak menyangka insiden itu akan menjadi isu besar.
Polis memberi amaran tindakan mereka adalah tidak wajar memandangkan situasi banjir yang berlaku.
Keempat-empat lelaki berkenaan memohon maaf atas tindakan mereka yang menimbulkan kebimbangan awam serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
Polis mengemukakan pertuduhan terhadap empat lelaki itu atas kesalahan menyebabkan gangguan awam, memandu tanpa memperdulikan keselamatan nyawa atau tubuh badan orang lain, serta memandu secara melulu atau dalam keadaan yang boleh membahayakan orang lain.
Mereka dihadapkan ke Mahkamah Kwaeng Don Mueang hari ini. – AGENSI
The post 4 lelaki tunda besen dalam banjir didakwa appeared first on Kosmo Online.






