
KOTA TINGGI – Seorang wanita yang sarat mengandung cedera parah selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah jip di Kilometer 4.3, Jalan Kota Tinggi – Kluang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, dalam kejadian pada pukul 1.55 tengah hari itu, mangsa yang berusia 35 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan pendarahan dalaman.
Bagaimanapun bayi dalam kandungan wanita itu yang berusia 36 minggu disahkan meninggal dunia.
”Nahas membabitkan motosikal jenis SYM yang ditunggang mangsa dan Nissan X-Trail yang dipandulelaki tempatan berusia 61 tahun.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila kenderaan tersebut hendak memasuki simpang sebelum bertembung motosikal mangsa,” katanya.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Kota Jaya.
Wanita itu menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-KOSMO! ONLINE
The post Wanita sarat hamil parah, bayi 36 minggu meninggal dalam kemalangan appeared first on Kosmo Online.






