4 penghuni Puspen larikan diri ditahan semula di Sungai Siput

30 Jul 2026 • 9:50 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 4 penghuni Puspen larikan diri ditahan semula di Sungai Siput

PETALING JAYA – Empat penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Perlop, Perak yang dilaporkan melarikan diri pada Jumaat lalu berjaya ditahan semula di sekitar Sungai Siput, Perak.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, kesemua penghuni terbabit berjaya diberkas hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, susulan insiden itu, tular satu mesej di media sosial yang mendakwa kesemua penghuni tersebut berada di sekitar Bandar Baru Bangi sekali gus menimbulkan keresahan kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Maklumat yang tular itu adalah palsu. Kesemua penghuni terbabit hanya berada di sekitar daerah Sungai Siput, Perak sebelum berjaya ditangkap semula.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan kerana ia boleh mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, AADK telah memulakan siasatan dalaman secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian termasuk meneliti sama ada wujud unsur kecuaian atau ketidakpatuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya, tindakan tatatertib dan undang-undang akan diambil sekiranya siasatan mendapati terdapat kecuaian dalam kalangan kakitangan yang terlibat.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu kerana tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta peruntukan undang-undang lain yang berkuat kuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 4 penghuni Puspen larikan diri ditahan semula di Sungai Siput appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved