sarah23/10/2026 - 11:25 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt - Dianggarkan 40,000 penumpang bakal menggunakan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura setiap hari apabila ia mula beroperasi, sekali gus meningkatkan keperluan sambungan internet yang stabil di pintu masuk utama perkhidmatan rentas sempadan itu.
Bagi memenuhi keperluan tersebut, U Mobile Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) untuk meneroka penyediaan liputan rangkaian 4G dan 5G dalam bangunan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQC) Bukit Chagar, Johor Bahru.
Kerjasama itu bertujuan membolehkan pengguna mengakses maklumat perjalanan, mengatur pengangkutan susulan serta berhubung dengan keluarga dan rakan sekerja tanpa gangguan, selain menyokong keperluan komunikasi kira-kira 600 kakitangan agensi kerajaan yang kini bertugas di kompleks berkenaan.
Di bawah MoU itu, kedua-dua pihak akan meneliti aspek komersial, teknikal dan operasi bagi membolehkan rangkaian U Mobile dihubungkan dengan infrastruktur liputan dalam bangunan (IBC) milik MRT Corp, tertakluk kepada perjanjian muktamad, keperluan teknikal dan kelulusan berkaitan.
Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck berkata, sambungan mudah alih yang boleh dipercayai merupakan komponen penting dalam pengalaman perjalanan, khususnya bagi pengguna pengangkutan rentas sempadan Malaysia dan Singapura.
"Melalui kerjasama dengan MRT Corp, kami berhasrat memperluas liputan rangkaian 4G dan 5G U Mobile ke seluruh kompleks ICQC bagi membantu kakitangan agensi kerajaan, penumpang dan pelawat kekal berhubung di pintu masuk rentas sempadan yang penting ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, pengalaman menggunakan RTS Link bermula sebelum penumpang menaiki tren dan berterusan selepas mereka tiba di destinasi, menjadikan akses maklumat, komunikasi dan urusan perjalanan tanpa gangguan sebagai aspek penting perkhidmatan.
Selain meningkatkan kesalinghubungan, infrastruktur 5G dalam bangunan itu berpotensi menyokong aplikasi digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) pada masa depan bagi mempertingkat kecekapan operasi bangunan dan pengalaman penumpang.
Kerjasama berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha U Mobile memperluas liputan di lokasi infrastruktur awam strategik dan kawasan tumpuan tinggi, dengan rangkaian 5G dalam bangunannya kini merangkumi lebih 250 lokasi di seluruh negara.- DagangNews.com





