hamden21/10/2026 - 09:23 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt - Digital Nasional Bhd (DNB) dan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menyediakan sambungan rangkaian 5G dalam bangunan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQC) RTS Link di Johor Bahru.
Kerjasama itu membolehkan liputan 5G disediakan di seluruh kompleks berkenaan bagi menyokong pelbagai perkhidmatan digital, termasuk pembelian tiket, navigasi, komunikasi dan transaksi mudah alih.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua syarikat berkata, MoU berkenaan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Datuk Azman Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim, semasa Ekspo Pengangkutan Asia 2026.
Azman berkata, kerjasama itu menyokong integrasi sambungan 5G ke dalam infrastruktur pengangkutan awam, sekali gus meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang.
"Melalui kerjasama dengan MRT Corp dan pemegang saham pengendali rangkaian mudah alih kami, kami berharap dapat menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih baik kepada penumpang, di samping mewujudkan model bagi penggunaan 5G dalam bangunan secara lebih meluas di hab pengangkutan, pembangunan komersial dan lokasi awam di seluruh negara," katanya.
Kemudahan memastikan penumpang kekal berhubung
Sementara itu, Mohd Zarif berkata, kerjasama berkenaan merupakan sebahagian daripada persiapan bagi operasi penumpang RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura.
Menurutnya, sambungan digital yang boleh dipercayai akan membolehkan penumpang kekal berhubung ketika bergerak melalui stesen dan kemudahan imigresen.
MRT Corp, menerusi anak syarikatnya Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd (MRTS), bertanggungjawab membangunkan dan memiliki infrastruktur RTS Link di Malaysia, termasuk kemudahan telekomunikasi dalam bangunan di ICQC Bukit Chagar.
Sebagai penyedia kemudahan rangkaian berlesen, MRT Corp merancang menjana pendapatan bukan tambang menerusi penyewaan infrastruktur telekomunikasi dan ruang kepada pengendali rangkaian mudah alih.
Kedua-dua syarikat berkata, kerjasama itu turut menyediakan rangka kerja bagi pelaksanaan sambungan 5G dalam bangunan di lokasi lain yang mempunyai jumlah pengunjung tinggi pada masa hadapan. - DagangNews.com






