
TAWAU: Kira-kira 40 batu nisan didapati ‘hilang’ dari tapak kuburan disyaki dicabut individu tertentu di Tanah Perkuburan Islam Kg Sri Bombalai Laut bersebelahan Kg Sungai Imam, di sini, pada Jumaat.
Menerusi paparan video tular berdurasi satu minit enam saat di aplikasi media sosial, pengadu menyeru mereka yang mempunyai keluarga yang dikebumikan di tanah perkuburan itu supaya datang mengenalpasti tapak kuburan waris masing-masing.
Terdahulu, satu lagi klip video tular berasingan sepanjang dua minit 36 saat pula mendedahkan, selain batu nisan dicabut, terdapat juga yang dirosak malah dipecahkan.
Batu-batu nisan yang dicabut dari kuburan turut ditemui berada di sekitar kawasan tapak perkuburan berkenaan, namun belum ada saksi tampil untuk mengesahkan kejadian terbabit.
Kejadian yang disyaki akibat perbuatan khianat itu turut mengundang kegelisahan awam, malah orang ramai yang gempar turut tertanya-tanya motif sebenar di sebalik kejadian berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis berhubung insiden berkaitan pada jam 8.37 pagi.
Buat masa ini, katanya, siasatan masih diteruskan termasuk usaha mengenal pasti kejadian sebenar dan mengesan pelaku bertanggungjawab dalam insiden terbabit.




