‘Jambatan baharu kini di peringkat reka bentuk’

10 Mar 2025 • 11:47 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Amir Anuar

TAWAU: Status projek jambatan baharu yang bakal menghubungkan antara Kg Budaya Pasir Putih dengan Logpond Tanjung Batu Laut kini berada di peringkat reka bentuk.

Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata projek jalan penghubung baru itu juga akan dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-13.

“Perkara ini disampaikan kepada kita melalui jawapan rasmi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah,” katanya kepada pemberita pada program sentuhan kasih dan berbuka puasa di Masjid Al-Falah Kg Budaya Pasir Putih di sini, Jumaat.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tg Batu serta Komuniti Madani Pasir Putih kelolaan Pejabat Penerangan Daerah Tawau.

Mengulas lanjut, Andi menyifatkan fasiliti jambatan baharu terbabit sebagai projek yang mendesak dan amat diperlukan khususnya untuk menjamin keselesaan penduduk kampung dan sekitar.

Menyentuh hal berasingan, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu itu berkata pihaknya sudah menghantar permohonan rizab perkampungan untuk Kg Empang.

“Status pemilikan tanah di kampung ini berada dalam peringkat pertimbangan oleh pemilik tanah iaitu Sabah Softwoods Berhad - Innoprise Corporation Sdn Bhd.

“Mudah-mudahan kampung ini dapat diwartakan sebagai rizab perkampungan sama seperti status kampung lain yang sudah mendapatkan pewartaan,” katanya.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan itu berkata pewartaan kampung diperlukan untuk membolehkan penduduk menerima pelbagai bantuan kerajaan dan pembangunan yang lebih sistematik.