40 hantaran dadah seminggu, upah cecah RM2,000

11 Nov 2026 • 12:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 40 hantaran dadah seminggu, upah cecah RM2,000
Azry Akmar (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada dadah bernilai RM711,452.20 termasuk serbuk MDMA, pil ekstasi, Erimin 5, serta botol minuman berperisa disyaki mengandungi cecair MDMA yang dirampas dalam serbuan di Kuantan. Foto Sinar Harian
Image from: 40 hantaran dadah seminggu, upah cecah RM2,000
Kenderaan jenis Perodua Viva milik suspek yang disita bernilai RM20,000 selepas sidang akhbar kejayaan rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan. Foto Sinar Harian.
Image from: 40 hantaran dadah seminggu, upah cecah RM2,000
Azry Akmar menunjukkan lokasi serbuan termasuk kawasan apartmen yang dijadikan tempat penyimpanan dadah serta kediaman suspek di Kuantan. Foto Sinar Harian.

KUANTAN – Kira-kira 40 transaksi penghantaran dadah dalam tempoh seminggu membolehkan seorang lelaki memperoleh upah sekitar RM2,000 sebelum kegiatannya terbongkar dalam serbuan polis di daerah ini pada 7 November lalu.

Lelaki tempatan berusia 23 tahun itu ditahan ketika sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuantan menjalankan serbuan di kawasan tempat letak kereta dan sebuah apartmen kira-kira jam 7.50 malam tersebut.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemukan lima bungkusan plastik mengandungi kira-kira 29 paket kecil serbuk disyaki MDMA seberat 1,155.30 gram.

**media[3706518]**

Menurutnya, hasil soal siasat kemudian membawa polis ke sebuah apartmen yang turut digunakan sebagai tempat penyimpanan dadah dan kediaman suspek.

"Pemeriksaan di apartmen itu menemukan 38 paket plastik lutsinar mengandungi ketamin seberat 41.94 gram, tiga paket mengandungi pil ekstasi seberat 8.98 gram serta lima biji pil Erimin 5 seberat 1.37 gram.

"Polis turut menemukan 114 paket plastik mengandungi serbuk disyaki MDMA seberat 5,472.26 gram selain beberapa kotak dan botol minuman yang mengandungi cecair disyaki MDMA," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar mengenai kejayaan pihak polis dalam rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini pada Rabu.

**media[3706517]**

Azry Akmar menambah, siasatan mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah sejak kira-kira dua bulan lalu dengan menerima arahan untuk mengambil bungkusan di lokasi tertentu sebelum menghantarnya ke tempat lain.

"Suspek menerima arahan penghantaran menerusi aplikasi Telegram dan WeChat, tanpa pernah bersemuka dengan pembekal.

"Setiap hantaran dibayar RM50 satu transaksi dan suspek boleh melakukan kira-kira 40 transaksi seminggu, sekali gus memperoleh upah sekitar RM2,000,” katanya.

Dalam operasi sama, Azry Akmar memberitahu, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas membabitkan 6,627.56 gram serbuk MDMA, 41,650 gram cecair MDMA, 41.94 gram ketamin, 8.98 gram pil ekstasi dan 1.37 gram pil Erimin 5.

Jelasnya, keseluruhan rampasan seberat 48,329.85 gram itu dianggarkan bernilai RM711,452.20 dan berpotensi menjejaskan seramai 29,207 pengguna sekiranya terlepas ke pasaran,

Beliau menambah, polis turut menyita sebuah kenderaan milik suspek yang dianggarkan bernilai RM20,000, menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta sebanyak RM731,452.20.

"Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau, manakala ujian saringan air kencingnya didapati negatif dadah.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula 8 hingga 14 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Dadah (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya.

Sehubungan itu, Azry Akmar turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah kepada Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) Pahang atau mana-mana balai polis berhampiran.

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved