
KUANTAN: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki bertindak sebagai transporter dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah ini, pada Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, penangkapan tersebut dibuat susulan serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira pukul 7.50 malam dekat tempat letak kereta dan sebuah apartment.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 23 tahun itu terlibat dalam sindiket pengedaran dadah yang menerima arahan menerusi aplikasi perbualan dalam talian sebelum menghantar barang terlarang itu ke tempat yang ditetapkan dengan bayaran RM2,000 seminggu.
“Pemeriksaan di kedua-dua lokasi itu membawa kepada penemuan termasuk beberapa bungkusan mengandungi serbuk disyaki Methylenedioxyamphetamine (MDMA) sebelum suspek ditahan untuk siasatan lanjut.
“Hasil soal siasat terhadap suspek membawa pasukan ke sebuah apartmen yang dipercayai dijadikan tempat penyimpanan dadah sebelum pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenis bahan terlarang di dalam sebuah kotak dan almari kabinet,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambahnya, sindiket terbabit menyediakan apartmen berkenaan bagi kegunaan suspek sebagai tempat menyimpan bekalan dadah sebelum diedarkan.
Menerusi serbuan tersebut sebanyak 48.4 kilogram (kg) dadah yang terdiri daripada 6,627.56 gram (g) serbuk MDMA, 41,650 gram cecair MDMA, 41.94 gram ketamin, 8.98 gram pil ekstasi dan 1.37 gram pil Erimin 5 ditemukan dan dirampas dalam bungkusan pelbagai bentuk termasuk botol minuman, kotak dan 114 paket plastik bernilai keseluruhan RM711,452.20
Tambah Azry Akmar, polis turut menyita sebuah kenderaan milik suspek yang dianggarkan bernilai RM20,000.
Azry Akmar berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman selama tujuh hari bermula 8 hingga 14 November ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN
The post Transporter dadah terima bayaran RM2,000 seminggu ditahan appeared first on Utusan Malaysia.






