Rundingan 40 peratus mesti diteruskan walaupun penangguhan mahkamah - Ketua Wanita GRS

LocalPolitics
6 Apr 2026 • 1:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azizah Mohd Dun.

KOTA KINABALU - Rundingan pelaksanaan bayaran 40 peratus perlu diteruskan walaupun Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan perintah pelaksanaan bagi menyemak semula kelayakan Sabah terhadap hasil bersih negeri itu.

Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun berpandangan bahawa kerajaan negeri dan Persekutuan masih boleh meneruskan rundingan, termasuk mengenai kuantum serta tempoh pelaksanaan bayaran tersebut.

"Kita tidak boleh biarkan saja oleh kerana ada 'stay of execution' itu, tapi kita tidak membuat sesuatu untuk berunding.

"Perundingan ini boleh berjalan pun. Bukan ertinya kalau itu dia kata implementasi tempoh-tempoh tertentu, tapi perundingan masih boleh berjalan.

"Jadi untuk menghormati hak rakyat negeri Sabah yang juga hak kita, maka perlu perundingan ini diteruskan. Berertinya ada keseriusan untuk menghormati hak kita yang memang sudah termaktub di dalam Perlembagaan itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Isnin.

Bekas Ahli Parlimen Beaufort itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan, di Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan perintah pelaksanaan bagi menyemak semula kelayakan Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih diperoleh negeri itu bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Tambah beliau lagi, perkara itu tidak wajar dipertikai atau dipandang remeh oleh mana-mana pihak memandangkan hak rakyat Sabah telah lama tertangguh.

"Ini kerana, hak rakyat Sabah sudah lama tertangguh sekian lama ini dan perlu diadakan perundingan secara terus di antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Bagi saya amat penting untuk pihak kerajaan Persekutuan menghormati hak negeri Sabah ini dan rakyat Sabah memerlukan peruntukan dari 40 peratus untuk meneruskan perjuangan kehidupan rakyat di negeri ini.

"Banyak perkara-perkara yang perlu lagi dilaksanakan, demi kemajuan, kesejahteraan rakyat Sabah. Jadi walaupun ada 'stay of execution' tetapi kalau kita betul-betul serius mahu melaksanakan perkara ini, maka perundingan tu mesti berjalan secara terus di luar," katanya.

Tegasnya, rakyat Sabah memerlukan pembelaan dan keputusan tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan sehingga menyebabkan kebajikan rakyat terus terabai.