40 peratus hasil: Sabah bertindak profesional, dedikasi

27 Jul 2024 • 3:04 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Sabah Publishing House Sdn Bhd

KOTA KINABALU: Peguam Besar Negeri Datuk Brenndon Keith Soh berkata Kerajaan Sabah telah menjalankan tugas secara profesional dan berdedikasi dalam usaha menuntut pemberian khas sebanyak 40 peratus di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, tuntutan awal secara bertulis pada 10 Jun 2022 telah diserahkan kepada Kementerian Kewangan Malaysia mengikut formula perlembagaan yang ditetapkan dalam Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ini dihantar sebagai persediaan untuk proses rundingan yang dijalankan antara kerajaan, menambah Kerajaan Sabah sentiasa bersedia dalam hal ini.

“Sebagai sebahagian daripada ‘interim arrangement’ yang dipersetujui antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan, serta untuk memastikan rundingan yang telus dan konstruktif antara pihak-pihak, data kewangan yang melibatkan hasil yang diperolehi daripada Negeri Sabah hendaklah didedahkan.

SPONSORED CONTENT Shell awards Sabah LiveWIRE winners Kota Kinabalu: Shell has awarded five enterprises as the state winners of Shell LiveWIRE Malaysia 2024, following the Sabah state finals held at Plaza Shell in Kota Kinabalu. . Read more “Data kritikal yang diperlukan melibatkan hasil yang diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan daripada cukai, duti kastam, lesen, yuran dan denda antara lain (data kewangan).

“Secara dalaman, satu Jawatankuasa Penyemakan Nilai Pemberian Khas Negeri Sabah (Jawatankuasa Kerajaan Negeri) telah ditubuhkan yang terdiri daripada anggota utama perkhidmatan awam, termasuk Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah, Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Jabatan Bendahari Negeri Sabah dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Sabah bersama dengan penasihat bebas.

“Sejak 2022, sebanyak lapan permohonan rasmi telah dibuat oleh Kerajaan Sabah kepada Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan data kewangan yang dikehendaki.

“Kerajaan Sabah tidak menerima sebarang maklum balas daripada permohonan tersebut. Perkara ini telah dibawa kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JTMTPMA63) pada 28 Mei 2024.

“Kerajaan Sabah telah memaklumkan kepada JTMTPMA63 bahawa Kerajaan Negeri akan mengambil inisiatif untuk mengira hasil bersih berdasarkan data kewangan yang sedia ada.

“Sebagai respons, JTMTPMA63 telah dimaklumkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia bahawa rundingan akan diadakan secara berasingan pada Jun 2024.”

Beliau berkata, biarpun dengan kekangan dari segi masa dan data, Jawatankuasa Kerajaan Negeri telah menyediakan tuntutan rasmi yang dikemaskini sebagai persediaan untuk rundingan yang akan diadakan.

Tuntutan tersebut dihantar kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada 18 Jun 2024 dengan surat susulan pada 11 Julai 2024.

“Sehingga kini, Kementerian Kewangan Malaysia masih belum memberi sebarang maklum balas secara bertulis,” katanya dalam kenyataan, Jumaat.

Bagaimanapun, Soh berkata Kementerian Kewangan Malaysia pada 16 Julai 2024 telah mengesahkan di Parlimen bahawa Kerajaan Persekutuan komited untuk membincangkan kadar pemberian khas baharu untuk Sabah.

“Oleh itu, Kerajaan Sabah tetap bersedia dan mampu untuk memulakan rundingan lanjut mengenai pemberian khas yang layak diterima.

“Kerajaan Sabah ingin menegaskan bahawa melalui rundingan bersama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah telah menerima peningkatan pembayaran pemberian khas secara penyelesaian interim (tanpa menjejaskan hak perlembagaan) sebanyak RM125.6 juta pada 2022 dan RM300 juta pada 2023.

“Selaras dengan Perkara 112D (6) Perlembagaan Persekutuan, sekiranya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah tidak dapat mencapai persetujuan mengenai mana-mana perkara berkaitan semakan pemberian khas, perkara tersebut hendaklah dirujuk kepada penaksir bebas dan syor penaksir bebas mengenai perkara itu hendaklah mengikat kepada kedua-dua Kerajaan,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.