
TAIPING: Seramai 407 mangsa banjir daripada 147 keluarga masih berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Larut, Matang dan Selama setakat pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah itu tidak berubah berbanding pukul 4 pagi tadi dengan kesemua PPS terbabit masih beroperasi.
Menurutnya, Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Ibol menempatkan mangsa paling ramai, iaitu 181 orang daripada 57 keluarga dari Kampung Changkat Ibol.
“Dewan Masjid Al-Wusta Batu 8 pula menempatkan 130 mangsa daripada 57 keluarga dari Kampung Batu 9.
“Seramai 79 mangsa daripada 24 keluarga dari kawasan Matang berlindung di SK Matang Gelugor, manakala 17 orang daripada sembilan keluarga dari kawasan Trong ditempatkan di Dewan Perdana Trong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, PPS SK Changkat Ibol dibuka pada pukul 6 petang semalam, disusuli Dewan Masjid Al-Wusta Batu 8 pada pukul 6.30 petang.
Katanya, Dewan Perdana Trong dan SK Matang Gelugor pula mula beroperasi pada pukul 8.30 malam hari sama.
“Tiada pembukaan PPS baharu atau penutupan pusat pemindahan direkodkan antara pukul 4 hingga 8 pagi ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 56 mangsa ribut daripada 21 keluarga masih ditempatkan di PPS SK Matang yang dibuka sejak pukul 6.30 petang, 14 Oktober lalu.
Mereka terdiri daripada penduduk Kampung Changkat Baru Matang, Kampung Teluk Kertam, Kampung Melawati dan Kampung Hujung Matang. – UTUSAN
The post 407 mangsa banjir di empat PPS di Perak appeared first on Utusan Malaysia.





![[VIDEO] ‘Air cecah pinggang, apa pun tak sempat’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/pps-banjir-1024x768.jpeg)
