
SERAMAI 408 kutu sampah dikenakan kompaun berjumlah RM8,180 kerana melakukan kesalahan membuang sampah dan puntung rokok di kawasan sekitar pusat komersial serta bandar dalam kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sepanjang dua bulan lalu.
Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya (UCD) berkata sebanyak RM3,380 kutipan kompaun direkodkan bulan lalu manakala RM4,800 lagi pada Julai.
“Seramai 408 individu yang melakukan kesalahan telah dikenakan tindakan sepanjang tempoh ini.
“Daripada jumlah itu 393 membayar kompaun serta-merta manakala 15 lagi memilih untuk membuat bayaran dalam tempoh kelonggaran yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata seramai 400 individu dikenakan tindakan kerana membuang puntung rokok atau sampah ke persekitaran mereka antara Ogos dan Julai.
“Lapan lagi ditegur kerana menimbun atau meletakkan barangan yang tidak diperlukan di kawasan awam berhampiran premis mereka,” ujarnya.
Menurutnya kompaun sehingga RM500 boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar Undang-Undang Kecil DBKK (Antisampah) 1984 (Pindaan 2005).
Dalam tempoh berkenaan tiga pasukan UCD yang masing-masing terdiri daripada empat hingga lima anggota berpakaian preman menjalankan 128 pemeriksaan berasingan menerusi Ops Bersih.
Sebanyak 62 pemeriksaan dilakukan antara 1 hingga 30 Ogos dengan anggota jabatan berkenaan memeriksa premis di pusat bandar serta kawasan dari Damai hingga Telipok.
Jurucakap itu berkata di Kota Kinabalu pemeriksaan turut meliputi deretan kedai di Bandaran Berjaya, Kampung Air, Sinsuran, Segama dan sepanjang Jalan Gaya, selain kawasan tepi laut berhampiran patung Marlin dan Jeti DBKK di Jalan Tun Fuad Stephens.
Kawasan awam sekitar KK Plaza, Pasar Besar dan Api-Api Centre turut dipantau bagi memastikan kebersihan terus terpelihara.
“Jumlah paling tinggi pelaku pembuangan sampah ditahan di sekitar Sinsuran iaitu 59 orang, diikuti Kampung Air (33) dan Bandaran Berjaya (15),” jelasnya.
Bagi kawasan di luar had bandar, jurucakap itu berkata pasukan UCD turut menjalankan pemeriksaan di deretan kedai di Grace Square, Taman Iramanis, Taman Indah Permai dan Taman Kuala Manggatal.
Selain itu pemantauan bagi operasi berkenaan turut dijalankan di Damai Plaza, Likas Plaza, Kingfisher Plaza, Alam Mesra, Kompleks Pentadbiran Mini Putrajaya, University Plaza dan University Utama Square.
Pemeriksaan turut dilakukan di pekan Sembulan, Inanam, Manggatal dan Telipok.
Menurut jurucakap itu Inanam dan deretan kedai di Indah Permai mencatat jumlah pesalah tertinggi bagi kawasan berkenaan, dengan masing-masing lima pelaku pembuangan sampah dikenakan tindakan.
Ia diikuti Grace Square, Kingfisher Plaza, Alam Mesra dan Mini Putrajaya, yang masing-masing menyaksikan tiga individu melakukan kesalahan ditahan.
Beliau berkata dua lagi individu masing-masing dikenakan tindakan di sekitar Damai Plaza, Likas Plaza dan Manggatal.
“Pemeriksa UCD mendapati seorang pemilik kedai di Bandaran Berjaya menimbunkan barangan yang tidak diperlukan di atas kaki lima dan bahu jalan di belakang premisnya,” katanya.
Jurucakap itu berkata peniaga yang membayar kadar komersial di Sinsuran, Kampung Air, Alam Mesra, Indah Permai dan Pusat Komersial Politeknik turut dikenakan tindakan atas kesalahan sama pada Julai.
Beliau berkata sebanyak 66 pemeriksaan menerusi Ops Bersih dijalankan antara 2 hingga 31 Julai.
“Kebanyakan pesalah di pusat bandar ditangkap ketika sedang melakukan kesalahan di kawasan tepi laut berhampiran Jeti DBKK iaitu seramai 92 orang pada bulan berkenaan.
“Seramai 63 lagi dikenakan tindakan di kawasan tepi laut berhampiran arca todak manakala 60 yang lain ditahan di medan selera Anjung Senja,” tegasnya.
Bagi premis di luar Kota Kinabalu, beliau berkata jumlah pelaku pembuangan sampah paling ramai ditahan di sekitar Mini Putrajaya iaitu seramai 11 orang.
“Mini Putrajaya mencatat jumlah pesalah tertinggi dengan 11 individu tidak bertanggungjawab ditahan kerana membuang sampah dalam operasi berkenaan. Ia diikuti Queen Elizabeth Hospital (HQE) dengan 10 individu ditahan.
PEMANDU ini di kawasan Grace Square, Sembulan dikenakan tindakan selepas membuang sampah keluar dari tingkap kenderaan.Katanya tujuh lagi individu dikenakan tindakan di sekitar Manggatal.
Jurucakap itu berkata DBKK terus mengambil tindakan tegas terhadap kesalahan membuang sampah sebagai usaha menggalakkan orang ramai memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan ibu negeri sentiasa bersih.
PASUKAN UCD menegur sekumpulan lelaki yang duduk di kawasan tepi laut berhampiran arca todak.“Bukan hanya menjadi tanggungjawab pengutip sampah dan pekerja pembersihan jalan untuk memastikan kawasan premis komersial dalam kawasan penilaian kami sentiasa bersih, kemas dan menyenangkan dipandang khususnya bagi ramai pelawat dari luar negara yang pertama kali berkunjung ke sini.
“Sebaliknya ia adalah tanggungjawab bersama semua yang tinggal, bekerja dan berkunjung ke kawasan berkenaan,” ujarnya.


