
SERAMAI 337 individu dikenakan tindakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kerana melakukan kesalahan membuang sampah dalam tempoh dua bulan lalu dengan jumlah RM7,600 kutipan kompaun direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.
Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya (UCD) berkata daripada jumlah itu 324 individu menjelaskan kompaun serta-merta manakala 13 lagi membuat bayaran sebelum tempoh kelonggaran kompaun mereka tamat.
SEORANG perokok menjelaskan kompaun selepas membuang puntung rokok (bulatan) ke atas kaki lima di Damai Plaza.“Antara Jun dan Julai, seramai 318 pesalah dikenakan tindakan kerana membuang puntung rokok atau sampah ke persekitaran mereka.
“Sebanyak 19 lagi dikenakan tindakan kerana menimbun atau meletakkan barangan yang tidak diperlukan di kawasan umum berhampiran premis mereka,” katanya.
Beliau berkata tindakan itu diambil menerusi Ops Bersih DBKK yang dijalankan di pusat komersial dan kawasan bandar dalam kawasan pentadbiran DBKK.
Menurutnya kompaun sehingga RM500 boleh dikenakan terhadap individu yang didapati melanggar Undang-Undang Kecil Anti-Sampah DBKK 1984 (Pindaan 2005).
Beliau berkata mereka yang berulang kali mengingkari arahan DBKK supaya tidak membuang sampah di kawasan umum boleh berdepan tindakan undang-undang.
“Mereka boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 sekiranya didapati bersalah di mahkamah,” ujarnya.
Jurucakap itu berkata tiga pasukan UCD menjalankan 66 pemeriksaan berasingan antara 2 dan 31 Julai di sekitar pusat bandar serta kawasan dari Manggatal hingga Luyang. Setiap pasukan terdiri daripada lima pegawai berpakaian biasa.
Jelasnya pasukan berkenaan mengutip RM4,800 daripada 224 kutu sampah yang melakukan kesalahan membuang sampah manakala sembilan lagi berjanji untuk menjelaskan kompaun kemudian.
Antara kawasan yang diperiksa di Kota Kinabalu ialah deretan kedai di Bandaran Berjaya, Kampung Air, Sinsuran dan Segama selain Dataran Merdeka serta kawasan pinggir laut berhampiran Jeti DBKK, di luar Jalan Tun Fuad Stephens dan sekitar patung ikan marlin.
Pemeriksaan turut dijalankan di Pasar Besar Kota Kinabalu, Centre Point Sabah dan kompleks beli-belah KK Plaza.
PEMANDU kenderaan di kawasan Bandaran Berjaya dikenakan kompaun kerana membuang sampah keluar dari tingkap kereta.Pasukan itu juga menjalankan pemantauan di jambatan berhampiran Imago Shopping Mall, medan selera Anjung Senja dan Api-Api Centre.
“Jumlah pesalah paling ramai ditahan di kawasan pinggir laut berhampiran Jeti DBKK, iaitu seramai 92 orang diikuti kawasan berhampiran patung ikan marlin sebanyak 63 orang dan Anjung Senja dengan 60 orang,” maklumnya.
Bagi kawasan di luar pusat bandar jurucakap itu berkata anggota UCD turut menjalankan pemeriksaan di Perumahan Kos Rendah Kepayan, Hospital Queen Elizabeth I, Foh Sang, Damai Plaza, Likas Plaza, Pusat Komersial Nountun, deretan kedai di Lorong Buah Duku, Terminal Bas Inanam, Inanam Point, EG Mall, Kingfisher Plaza, Alam Mesra, Indah Permai, Universiti Plaza, Kompleks Pentadbiran Mini Putrajaya dan Pusat Komersial Politeknik.
Selain itu katanya pemeriksaan turut dilakukan di kawasan pekan Sembulan, Inanam dan Manggatal.
“Mini Putrajaya mencatat jumlah pesalah tertinggi, dengan masing-masing 11 individu tidak bertanggungjawab dikenakan tindakan dalam operasi kali ini. Ia diikuti Hospital Queen Elizabeth I (QEHI) dengan 10 pesalah ditahan,” katanya.
Beliau menyatakan tujuh lagi individu dikenakan tindakan di sekitar Manggatal.
“Pasukan Ops Bersih mendapati pemilik kedai di Pusat Komersial Politeknik, Indah Permai, Alam Mesra, Sinsuran dan Kampung Air menimbun barangan yang tidak diperlukan di kaki lima dan bahu jalan di belakang premis mereka,” tambahnya.
Jurucakap itu berkata sebanyak RM2,800 kompaun dikutip pada Jun, dengan 100 pesalah menjelaskan kompaun masing-masing serta-merta, manakala empat lagi menangguhkan pembayaran.
Menurutnya sebanyak 45 pemeriksaan Ops Bersih dijalankan antara 3 hingga 29 Jun.
“Dalam operasi kali ini jumlah tertinggi pesalah membuang sampah di ibu negeri dikesan di sekitar Bandaran Berjaya (14 orang) diikuti Centre Point Sabah (12) dan Kampung Air (tiga),” katanya.
Beliau berkata deretan kedai berhampiran Universiti Utama Condominium merupakan lokasi yang mencatat jumlah pesalah tertinggi bagi pemeriksaan di luar kawasan bandar.
Menurut jurucakap itu seramai 24 individu dikenakan tindakan di beberapa blok di kawasan berkenaan.
“Ia diikuti Mini Putrajaya dengan keseluruhan 10 individu dikenakan tindakan, manakala masing-masing lima individu dikenakan tindakan di sekitar Manggatal dan Universiti Plaza,” tegasnya.




