42 projek pusat data bernilai RM164.4 bilion diluluskan setakat Q2 2025 - MB Johor

LocalTechnology
14 Aug 2025 • 10:02 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

42 projek pusat data bernilai RM164.4 bilion diluluskan setakat Q2 2025 - MB Johor

image is not available

14/08/2025 - 10:02

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Sebanyak 42 projek pelaburan pusat data bernilai RM164.45 bilion telah diluluskan di Johor setakat suku kedua 2025, kata Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, pelaburan berskala besar itu menjadikan Johor sebagai peneraju hab digital negara dan Asia Tenggara dengan sumbangan 78.6% kepada kapasiti teknologi maklumat (IT) operasi Malaysia.

“Projek-projek tersebut dijangka mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan kita sasarkan 60% kapasiti pusat data negara tertumpu di Johor menjelang 2030.

“Selari dengan perkembangan ini, kerajaan negeri beraspirasi menjadikan Johor sebagai peneraju AI dan ekonomi digital negara.

“Ini akan dicapai melalui pengintegrasian teknologi pintar dalam perkhidmatan awam, peningkatan daya saing industri serta pembinaan ekosistem digital yang inklusif dan mampan agar manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat,” katanya melalui hantaran di Facebook rasminya, semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau menghadiri pertemuan bersama Menteri Digital, Gobind Singh Deo di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur bagi membincangkan hala tuju pembangunan digital negeri serta pengukuhan peranan Johor dalam Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF).

Beliau juga optimis gabungan infrastruktur pusat data berskala besar, kemajuan teknologi AI dan dasar kerajaan yang progresif akan menjadikan Johor sebagai pusat inovasi digital serantau.

“Inisiatif ini bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup bangsa Johor melalui peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pembangunan industri baharu dan penyelesaian pintar untuk cabaran harian rakyat.

“Semoga usaha bersepadu ini akan memastikan Johor bukan sahaja kekal sebagai kuasa ekonomi negara, malah diiktiraf di peringkat global sebagai hab AI dan digital yang dinamik, berdaya tahan, dan memberi limpahan manfaat kepada negeri serta rakyat,” katanya.- DagangNews.com

standard