Pendapatan pelaburan KWSP naik 3% kepada RM38.92 bilion bagi separuh pertama 2025

14/08/2025 - 17:07
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 14 Ogos – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM38.92 bilion bagi enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2025 (1H25), meningkat 3% berbanding RM37.9 bilion pada tempoh yang sama tahun 2024.
KWSP berkata, jumlah pendapatan pelaburan itu termasuk keuntungan mark-to-market sebanyak RM440 juta daripada sekuriti yang belum direalisasikan, disebabkan turun naik kadar pertukaran asing.
“Selaras dengan dasar KWSP, keuntungan ini tidak akan diagihkan sebagai dividen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, bagi suku kedua 2025, pendapatan pelaburan KWSP meningkat 22% kepada RM20.61 bilion berbanding RM16.91 bilion pada suku yang sama tahun lalu.
“Ekuiti kekal penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan, menjana RM13.77 bilion atau meningkat 35% berbanding RM10.23 bilion tahun lalu.
“Pemulihan kukuh pasaran ekuiti global sepanjang suku ini membuka peluang kepada pengurus dana KWSP untuk memanfaatkan keuntungan dan menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan.
“Ekuiti menyumbang 67% daripada jumlah pendapatan pelaburan suku ini,” katanya.
Sementara itu, instrumen berpendapatan tetap menyumbang RM6.73 bilion atau 33% daripada jumlah pendapatan pelaburan suku ini.
Kelas aset ini, yang merangkumi sekuriti kerajaan Malaysia dan setara, serta pinjaman dan bon, terus memberikan pulangan stabil dan membantu mengurangkan kesan turun naik pasaran ekuiti.
Tambahnya, daripada jumlah pendapatan pelaburan Q2 2025, RM17.39 bilion dijana untuk simpanan konvensional manakala RM3.22 bilion untuk simpanan Syariah.
“Jumlah aset pelaburan KWSP setakat 30 Jun 2025 meningkat kepada RM1.31 trilion, naik 8% tahun ke tahun.
“Pelaburan antarabangsa menyumbang 39% dengan peningkatan sebahagiannya mencerminkan penilaian lebih baik dalam pasaran ekuiti global.
“Sepanjang Q2 2025, pelaburan antarabangsa menjana RM12.92 bilion atau 63% daripada jumlah pendapatan pelaburan,” tambahnya.
Peningkatan caruman dan pendapatan menyumbang kepada kenaikan 5% dalam aset di bawah pengurusan KWSP.
“Strategi kami akan terus bersifat waspada dan pengurusan berhemah dengan fokus kepada daya tahan jangka panjang bagi memastikan simpanan persaraan ahli selamat daripada cabaran luaran termasuk kelembapan perdagangan global, polisi perdagangan tidak menentu, tekanan inflasi dan perubahan geopolitik,” katanya. - DagangNews.com
featured standard

