johardy11/08/2026 - 14:29 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kerajaan meluluskan 42 projek tenaga boleh baharu dengan kapasiti eksport bersih keseluruhan 331 megawatt (MW) yang dijangka menarik pelaburan bernilai RM4.3 bilion menerusi pusingan bidaan terbaharu program Tarif Galakan (FiT).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, projek yang diluluskan itu merangkumi biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil.
“Ini adalah hasil yang kita mahukan — lebih banyak tenaga boleh baharu, rantaian bekalan domestik yang lebih kukuh, lebih banyak pelaburan dan nilai ekonomi yang nyata kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa Ketujuh 2026 hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad serta Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan.
SEDA menerima sebanyak 48 permohonan bagi pusingan bidaan berkenaan yang dibuka dari 10 Februari hingga 17 Mac lalu.
Mula bekal elektrik pada 2029 hingga 2030
Program FiT menjamin akses projek tenaga boleh baharu kepada grid elektrik, dengan tenaga yang dijana dijual pada kadar tetap yang lebih tinggi bagi tempoh tertentu.
Sebahagian daripada bayaran bil elektrik pengguna di Malaysia digunakan untuk membiayai program berkenaan bagi mempercepat pembangunan teknologi, mengurangkan kos serta meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu.
Langkah itu juga sejajar dengan sasaran kerajaan untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu kepada 70% menjelang 2050.
Akmal berkata kepada pemberita selepas majlis itu bahawa projek yang baru diluluskan dijangka mula membekalkan tenaga elektrik kepada grid antara 2029 dan 2030.
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan juga dijangka mewujudkan permintaan kira-kira RM617 juta bagi enjin gas dan dandang buatan tempatan.
Pada masa sama, projek berkenaan berpotensi mewujudkan lebih 7,700 peluang pekerjaan tidak langsung. - DagangNews.com




