
KUALA LUMPUR: Peralihan tenaga boleh baharu (TBB) negara dijangka memangkin pelaburan sekitar RM4.3 bilion menerusi 42 permohonan yang diluluskan di bawah proses e-bidaan Tarif Galakan (FiT) 2026.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, projek itu turut dijangka mewujudkan permintaan sekitar RM617 juta bagi enjin gas dan dandang keluaran tempatan, selain menyediakan kira-kira 7,738 peluang pekerjaan tidak langsung.
Ujarnya, kelulusan berkenaan dijangka meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor tenaga boleh baharu, selain mengukuhkan rantaian bekalan domestik dan mencipta nilai ekonomi kepada negara.
“Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia) menerima 48 permohonan menerusi proses e-bidaan FiT 2026 bagi ketiga-tiga sumber tenaga boleh baharu itu.
“Permohonan tersebut melibatkan kapasiti eksport bersih keseluruhan sebanyak 370.480 megawatt (MW) dengan 42 permohonan berkapasiti 331.355MW diluluskan selepas melalui penilaian menyeluruh.
“Daripada jumlah itu, 16 projek biogas melibatkan kapasiti 26.185MW, 11 projek biojisim berjumlah 135.94 MW dan 15 projek hidrokuasa kecil dengan kapasiti 169.23MW,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Ke-7 2026 di sini, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, berdasarkan keperluan, syarat pelaksanaan dan tempoh pembinaan, projek berkenaan dijangka mula beroperasi antara 2029 hingga 2030.
“Dalam usaha memperluas penggunaan tenaga boleh baharu, kerajaan turut mempelbagaikan sumber tenaga dengan membenarkan biojisim, biogas dan hidrokuasa kecil menyertai mekanisme berkenaan.
“Selain itu, pemilihan projek juga mengambil kira kesesuaian lokasi, harga yang ditawarkan serta aspek teknikal.
“Pada masa sama, penggunaan biojisim dan biogas turut memerlukan pertimbangan terhadap ekosistem dan sumber yang tersedia,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia menyasarkan 70 peratus tenaga boleh baharu dalam kapasiti terpasang menjelang 2050 dengan sasaran interim 35 peratus menjelang 2030.
Usaha itu memerlukan pelaburan dalam penjanaan tenaga, grid, penyimpanan tenaga, teknologi dan pembangunan kemahiran. – UTUSAN
The post Peralihan tenaga boleh baharu negara jangka jana pelaburan RM4.3 bilion appeared first on Utusan Malaysia.





