
KUALA LUMPUR: Sambutan terhadap penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 terus meningkat apabila seramai 43,000 pengunjung direkodkan setakat pukul 3.30 petang ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya menjangkakan akan kira-kira empat juta pengunjung hadir sepanjang penganjuran MAHA 2026 yang berlangsung bermula hari ini sehingga 6 September ini.
Beliau berkata, sebanyak RM58 juta jangkaan nilai jualan serta RM8 bilion memorandum persefahaman (MoU) bakal dimeterai sepanjang penganjuran.
“Setakat ini sudah 43,000 (pengunjung), belum lagi pukul 10 malam. Kami jangka jualan RM58 juta, MoU dalam RM8 bilion, RM4 bilion saja daripada China. Jadi tahun ini sambutannya di peringkat antarabangsa cukup baik,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.
Dalam majlis itu, Mohamad turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Maybank Islamic Berhad bagi memperkukuh pembangunan usahawan agromakanan.
Kerjasama strategik selama dua tahun itu memberi tumpuan kepada penyediaan akses pembiayaan dan penyelesaian kewangan, pembangunan kapasiti, pensijilan halal, pelaksanaan Program Halal on Demand serta sokongan kepada Program Global Export (GLOBEX).
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, menerui kerjasama itu, FAMA akan mengenal pasti usahawan berpotensi, menyelaras pembangunan usahawan serta menyediakan kepakaran teknikal dan khidmat nasihat, selain membantu memudahkan proses pensijilan halal dan akses kepada pasaran domestik serta antarabangsa.
Katanya, ia dijangka memperluas akses pembiayaan, meningkatkan bilangan usahawan memperoleh pensijilan halal, memperkukuh daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agromakanan serta membuka lebih banyak peluang eksport menerusi GLOBEX.
“Segmen Agribusiness yang diperkenalkan FAMA sempena MAHA 2026 menghimpunkan 141 reruai membabitkan 131 usahawan tempatan dengan kira-kira 1,500 produk makanan dan minuman serta pelbagai produk agromakanan bernilai tambah.
“Segmen bertemakan ‘Rasa Malaysia: Cita Rasa Lokal ke Global’ itu menyasarkan 200,000 pengunjung dengan nilai jualan RM4 juta sepanjang MAHA 2026,” katanya.- UTUSAN
The post 43,000 pengunjung pada hari pertama MAHA 2026 appeared first on Utusan Malaysia.






