438 pelajar MRSM hafaz 30 juzuk al-Quran, lepasi KPI tahunan

21 Sep 2026 • 5:05 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 438 pelajar MRSM hafaz 30 juzuk al-Quran, lepasi KPI tahunan

PARIT – Seramai 438 orang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran pada tahun ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia sekali gus melepasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan iaitu seramai 400 orang pelajar setahun.

“Alhamdulillah. Saya ada menyebut dalam paparan status pada pagi ini, ya. Tahun ini sahaja kita mencapai KPI kita, 438 orang pelajar yang khatam menghafaz 30 juzuk al-Quran. Ini menjadikan lebih daripada 4,300 orang pelajar-pelajar yang telah pun menghafaz al-Quran daripada keluaran MRSM Ulul Albab yang hari ini sudah berada dalam pelbagai bidang-bidang profesional,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penutupan Debat MRSM Piala Timbalan Perdana Menteri 2026 di Dewan Iltizam, MRSM Parit di sini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, fokus dan matlamat peringkat awal MRSM adalah untuk melahirkan generasi teknokrat dan generasi profesional dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Kita pergi kepada satu fasa yang lebih tinggi, bukan sahaja mereka ini mahir dan juga berkepakaran dalam bidang STEM, hebat, kita mencapai pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Lapan orang pelajar kita dinobatkan sebagai pelajar terbaik Matematik dalam International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) peringkat antarabangsa tetapi mereka juga kita nak pastikan menghafaz al-Quran. Inilah sebenarnya semangat Ulul Albab yang sebenar yang mana pengimbangan antara duniawi dan juga ukhrawi,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, para pelajar itu cemerlang bukan sahaja dari segi ilmu-ilmu yang diperlukan oleh masyarakat tetapi pada masa sama adalah penghafaz al-Quran.

“Sebab itulah bermula awal tahun lepas kita telah pun melancarkan MRSM, bukan sekadar lapan MRSM utama yang melaksanakan program Ulul Albab tetapi kita melaksanakan program Ulul Albab Tamhidi atau mini Ulul Albab di semua 58 MRSM.

“Maknanya, selain daripada lapan MRSM yang memfokuskan supaya semua pelajar dapat menghafaz 30 juzuk al-Quran tetapi 50 lagi MRSM sekurang-kurangnya mereka habis tingkatan lima boleh menghafaz lima juzuk al-Quran. Ini yang memudahkan mereka untuk sambung dalam bidang perubatan ke Universiti Al-Azhar. Memang yang memerlukan mereka menghafaz sekurang-kurangnya lima juzuk al-Quran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 438 pelajar MRSM hafaz 30 juzuk al-Quran, lepasi KPI tahunan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved