
SHAH ALAM, 12 OKT: Masalah pembiayaan yang dihadapi pembeli Pangsapuri Rima Riang, PJS1, Petaling Jaya bakal ditangani menerusi pelaksanaan Skim Sewa Untuk Milik (S2OWN) membabitkan 44 unit kediaman seawal tahun depan.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata skim itu menawarkan rumah berharga RM42,000 seunit bagi membantu golongan B40 yang berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman bank untuk memiliki kediaman sendiri.
"Kita akan buat program ini bermula di Petaling Jaya sebanyak 44 unit dengan harga RM42,000. Kita akan bagi kepada B40 untuk mereka duduk, bayar sewa dan akhirnya memiliki rumah.
"Yang ini kita akan buat pada awal tahun depan. Mereka duduk dan bayar secara berdisiplin sebelum akhirnya memiliki rumah berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Simposium Perumahan Kebangsaan yang menghimpunkan agensi perumahan dari lapan negeri di sini, hari ini.
Borhan menjelaskan, skim S2OWN membolehkan peserta menduduki rumah dengan membuat bayaran sewa secara berdisiplin sebelum memperoleh hak milik kediaman berkenaan.
Menurutnya, pendekatan itu memberi alternatif kepada golongan berpendapatan rendah yang menghadapi kekangan pembiayaan untuk membeli rumah secara terus.

Terdahulu, isu Pangsapuri Rima Riang sebelum ini berlarutan lebih dua dekad sebelum pembeli asal mula menerima kunci dan berpindah ke kediaman berkenaan pada Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun, kesukaran mendapatkan pinjaman bank masih menjadi antara halangan kepada sebahagian pembeli untuk menyelesaikan urusan pemilikan rumah.
Pada September lalu, Jawatankuasa Bertindak Rumah dan Kedai Blok E PJS1 turut membangkitkan masalah pembiayaan yang menyebabkan urusan pemilikan kediaman terus tertangguh.
Pelaksanaan S2OWN yang dirancang Kerajaan Negeri dijangka membuka laluan kepada penyelesaian masalah itu, sekali gus membantu golongan terbabit memiliki rumah sendiri.




