amree07/10/2026 - 11:40 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt — Kerajaan digesa memperluas skim sewa untuk dimiliki (RTO) ke seluruh negara menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu rakyat yang mampu membayar ansuran bulanan rumah tetapi mereka sukar pula mendapatkan pembiayaan daripada bank.
Pusat Kemajuan Komuniti dan Perumahan (REACH) berkata, terdapat golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang mampu membayar sewa RM800 hingga RM1,000 sebulan, namun masih dianggap tidak layak dari sudut kewangan apabila memohon pinjaman perumahan.
Ketua Penyelaras REACH, Iskandar Abdul Samad berkata, kumpulan itu termasuk kelompok yang bekerja sendiri, pekerja ekonomi gig dan mereka dengan mempunyai pendapatan tidak tetap atau tidak memenuhi syarat pinjaman konvensional ditetapkan pihak bank.
"Sehubungan itu, kami mencadangkan kerajaan mewujudkan dana bagi membeli rumah mampu milik sesuai ditawarkan menerusi skim RTO, selain diperluas jaminan pembiayaan kepada pembeli yang ada kemampuan tetapi tidak memenuhi keperluan pinjaman biasa," katanya.
Menurut beliau, skim berkenaan perlu memberi keutamaan kepada isi rumah dari kalangan berpendapatan B40 dan M40 bawah, termasuk memastikan bayaran bulanan benar-benar mampu ditanggung pembeli itu berdasarkan pendapatan isi rumah berkenaan.
Iskandar menambah, matlamat dasar perumahan negara tidak seharusnya hanya tertumpu kepada usaha pembinaan lebih banyak rumah, sebaliknya kerajaan wajar memastikan rakyat yang memerlukan kediaman benar-benar mampu untuk dapat memilikinya.

Ujar beliau, kerajaan atau agensi perumahan kerajaan boleh membeli rumah mampu milik yang sesuai daripada pemaju dan menawarkannya menerusi skim RTO, dengan pemilikan dipindahkan kepada peserta selepas mereka berjaya melengkapkan bayaran.
"Bagaimanapun, pemilihan projek perlu berdasarkan keperluan perumahan sebenar, lokasi yang sesuai, harga munasabah dan kualiti rumah bagi mengelakkan pemaju menggunakan skim itu semata-mata untuk melupuskan unit yang tidak terjual," katanya.
Selain itu, Iskandar mencadangkan kerajaan bertindak sebagai penjamin pembiayaan kepada pembeli yang mampu membayar ansuran bulanan mereka tetapi gagal pula dalam memenuhi syarat pembiayaan ditetapkan oleh bank konvensional.
Katanya, pendekatan seumpama itu sudah dilaksanakan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan yang diteruskan dan diperkukuh di bawah Belanjawan 2026 bagi membantu pembeli rumah pertama, termasuk golongan tanpa pendapatan tetap.
Skim RTO di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) diluluskan Kabinet pada 2016 bagi membantu golongan yang gagal mendapatkan pembiayaan dengan setakat Mac 2026 masih dilaksanakan di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu serta Kuala Lumpur.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming turut berkata kerajaan akan terus meneroka RTO, gadai janji kadar tetap, instrumen pembiayaan lain serta model pemilikan bersama bagi menyesuaikan corak pekerjaan dan pendapatan. - DagangNews.com






