49,000 pendatang tanpa izin di Selangor sertai Program Repatriasi Migran 2.0

LocalPolitics
11 Mar 2026 • 4:13 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 11 MAC: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor mencatat lebih 49,000 penyertaan warga asing dalam Program Repatriasi Migran 2.0 sejak pelancarannya pada Mei tahun lalu.

Pengarahnya Khairrul Aminus Kamaruddin berkata angka itu menunjukkan peningkatan ketara dalam jumlah pendatang tanpa izin, sama ada mereka yang tinggal tanpa dokumen perjalanan sah atau melebihi tempoh sah tinggal.

image is not available
Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin, bercakap pada sidang media selepas tamatnya Op Mahir di Meru, Klang, pada 19 Ogos 2025. Foto BERNAMA

“Program ini menawarkan pendekatan lebih terancang untuk menangani isu pendatang tanpa izin tanpa perlu penahanan berpanjangan,” katanya dipetik daripada New Straits Times.

Khairrul menjelaskan bahawa penyertaan program membolehkan warga asing yang mempunyai dokumen perjalanan sah pulang ke negara asal tanpa dikenakan tindakan tangkapan.

“Mereka hanya perlu melalui proses yang telah ditetapkan sebelum dibenarkan pulang ke negara masing-masing,” katanya.

image is not available
Seramai 1,116 individu diperiksa dengan 843 daripadanya disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dalam serbuan dijalankan di Selayang Baru pada 06 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Sehingga Februari tahun ini, sebanyak 177,000 migran di seluruh negara telah mendaftar di bawah program itu, menjana kutipan kompaun melebihi RM88 juta.