
Kota Kinabalu: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sudah bersedia untuk mengadakan Perhimpunan Agung Tahunannya buat julung kali hari ini (Isnin) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri akan merasmikan majlis itu yang dijangka dihadiri lebih 5,000 orang termasuk perwakilan, ketua komponen GRS dan pemerhati, antara lain.
Hajiji pada Ahad, diiringi Timbalan Presiden Datuk Seri Masidi Manjun, Naib Presiden, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Mohd Arif dan Setiausaha Agung Datuk Mohamed Razali Razi melawat venue bagi memastikan persiapan berjalan lancar.
Pengerusi Penganjur Datuk Abdul Kassim Razali berkata kesemua 74 bahagian termasuk dari Labuan akan hadir.
Abdul Kassim, yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, berkata Gagasan Rakyat yang dilancarkan pada 2 Mac lalu mempunyai kira-kira 300,000 ahli setakat ini.
“Ini menunjukkan PGRS yang berumur kurang setahun mendapat sokongan rakyat,” katanya.
Hajiji ketika melancarkan Gagasan Rakyat Mac lalu, berkata rakyat Sabah akhirnya mempunyai parti yang mereka boleh panggil “rumah” dan yang akan mengukuhkan perjuangan Gabungan Rakyat Sabah.
“Akhirnya, kita mempunyai rumah sendiri. Parti ini adalah rumah kita, yang akan kita jaga. Di rumah kita, kita adalah tuan dan akan memelihara sebaik mungkin,” katanya.
Hajiji berkata perkembangan politik dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini menghasilkan dua trend yang ketara, iaitu rakyat Sabah mahu parti tempatan menerajui Sabah dan pada masa yang sama keterangkuman melalui penyertaan berbilang parti dan bukannya satu parti tunggal seperti yang berlaku pada masa lalu.
“Kerajaan yang mempunyai unsur ‘semak dan imbang’ yang kukuh lagi inklusif.” Hajiji berkata kerjasama dengan parti nasional tidak seharusnya ditolak kerana “kita perlu hidup dalam ekosistem persekutuan”.
“Kehadiran parti nasional kekal relevan selagi semangat, teras dan agenda perjuangan negeri tidak terjejas. Sinergi elemen tempatan dan nasional mestilah berasaskan prinsip meletakkan kepentingan Negeri sebagai agenda keutamaan (Sabah Didahulukan) dan meletakkan kepentingan Negeri sebagai komponen penting agenda negara,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

