KUALA TERENGGANU – Sebanyak RM14.99 juta diperuntukkan bagi membantu seramai 5,101 usahawan dan peniaga kecil menerusi Skim Usahawan Bangkit di seluruh negara setakat 23 November lalu.
Daripada jumlah tersebut, seramai 380 usahawan dan peniaga kecil di Terengganu menerima manfaat menerusi peruntukan RM1.04 juta di bawah Program SejaTi MADANI@Usahawan B40 bagi meningkatkan kapasiti serta produktiviti perniagaan masing-masing.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Terengganu di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort, di sini, pada Khamis.
Peruntukan berjumlah RM1,044,750 itu disalurkan dalam bentuk bantuan peralatan bagi membantu golongan usahawan mikro, penjaja dan peniaga kecil mengembangkan perniagaan sekali gus meningkatkan keupayaan menjana pendapatan.
"Saya juga mahu umumkan tambahan RM500,000 untuk usahawan kecil di Terengganu.
"Peruntukan itu akan disalurkan pada tahun depan bagi membantu lebih ramai usahawan memandangkan masih ramai golongan peniaga kecil di negeri ini," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Hadir sama, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria dan Pengarah ICU Negeri Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif.
Skim Usahawan Bangkit merupakan antara inisiatif Kerajaan MADANI dalam memperkasakan golongan usahawan B40 dan peniaga kecil yang menjadi penggerak utama ekonomi rakyat.
Bagi memperluas manfaat skim berkenaan, kerajaan menerusi Belanjawan 2027 turut meningkatkan peruntukan geran Skim Usahawan Bangkit kepada RM200 juta.
Dalam pada itu, kerajaan turut menekankan kepentingan pendigitalan bagi meningkatkan daya saing usahawan tempatan, termasuk memanfaatkan potensi produk dan perusahaan berasaskan keunikan negeri Terengganu.
Antara produk berpotensi tinggi termasuklah songket, batik, keropok lekor serta perusahaan berasaskan marin dan pelancongan yang mampu menembusi pasaran lebih luas.
Sementara itu, dalam majlis sama, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan RM1.497 juta bagi kerja-kerja membaik pulih infrastruktur dan fasiliti di 11 institusi pendidikan Islam serta sekolah tahfiz di enam kawasan Parlimen di Terengganu.
Peruntukan itu bertujuan memperkukuh institusi pendidikan Islam selain menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selesa dan selamat kepada pelajar.
"Untuk negeri Terengganu ini, saya umumkan peruntukan khas bagi membaiki infrastruktur di 11 institusi pendidikan Islam dan sekolah tahfiz dengan kelulusan peruntukan khas tambahan sebanyak RM1.497 juta untuk dilaksanakan," ujarnya.






