11 institusi pendidikan Islam, tahfiz di Terengganu terima peruntukan khas RM1.497 juta

LocalPolitics
26 Nov 2026 • 1:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 11 institusi pendidikan Islam, tahfiz di Terengganu terima peruntukan khas RM1.497 juta
Anwar (dua dari kiri) menyerahkan replika cek peruntukan khas berjumlah RM1.497 juta kepada wakil institusi pendidikan Islam dan sekolah tahfiz sempena Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Terengganu di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Terengganu pada Khamis.

​​KUALA TERENGGANU – Sebanyak 11 institusi pendidikan Islam dan sekolah tahfiz di negeri ini menerima peruntukan khas berjumlah RM1.497 juta bagi kerja-kerja menaik taraf serta membaik pulih kemudahan infrastruktur sedia ada.

​Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Kali Ke-46 dan Hadiah Kecemerlangan Pendidikan di Taman Tamadun Islam, di sini pada Khamis.

​“Bagi tahun ini, peruntukan tambahan sebanyak RM1.497 juta diluluskan untuk membaik pulih infrastruktur asas di 11 institusi pendidikan Islam di Terengganu.

​“Ia demi meningkatkan kualiti kemudahan serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada para pelajar,” katanya.

​Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa meletakkan bidang pendidikan sebagai agenda utama menerusi penyaluran peruntukan terbesar dalam belanjawan tahunan negara.

​Beliau berkata, kesungguhan itu terbukti apabila peruntukan sektor berkenaan ditingkatkan daripada RM66.27 bilion pada tahun lalu kepada RM69 bilion bagi tahun ini.

​Sementara itu, merujuk senarai projek penyelenggaraan dan baik pulih institusi pendidikan Islam (IPI) Terengganu bagi tahun 2026, jumlah dana yang diluluskan untuk setiap institusi terlibat adalah antara RM100,000 hingga RM200,000.

​Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Besut dan Institut Tahfiz Al-Quran Al-Mizan di Dungun merekodkan jumlah penerimaan tertinggi iaitu masing-masing sebanyak RM200,000.

​Turut menerima agihan ialah Madrasatul Quran Kubang Bujuk, Serada berjumlah RM170,000; Madrasah Darul Iman (RM150,000) dan Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu (MTQT), Padang Midin (RM140,000).

​Seterusnya, Al Madrasah Al Fathoniyyah Lil Ulum Ad Diniyyah diperuntukkan sebanyak RM127,000 manakala Pusat Tahfiz Al-Quran Gong Bayor pula menerima RM110,000.

​Baki empat lagi institusi iaitu Madrasah STC, Pusat Tahfiz Anak Yatim Al Sidiqi, Sekolah Menengah Darul Furqan dan Madrasah Hafizah Ummul Khair masing-masing memperoleh RM100,000.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan bahawa penyaluran bantuan RM200 kepada murid pada Januari tahun hadapan mesti diikat dengan syarat kehadiran mereka ke sekolah.

​“Jadi, saya beri kuasa penuh kepada guru besar dan guru-guru untuk memastikan anak-anak hadir ke sekolah sebelum bantuan diberikan.

​“Kalau anak tidak hadir ke sekolah, bagaimana kita hendak membantu mereka. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya.

​Tambahnya, sistem pendidikan negara bukan sahaja bermatlamat melahirkan pelajar cemerlang dari sudut akademik, malah turut memberi penekanan terhadap pembentukan sahsiah dan akhlak terpuji.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved