5,180 kes seludup tumpas, barangan bernilai RM2.05 bilion dirampas

LocalBusiness & Finance
30 Sep 2026 • 12:56 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 5,180 kes seludup tumpas, barangan bernilai RM2.05 bilion dirampas

PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sebanyak 5,180 kes penyeludupan dan penyelewengan duti serta cukai kastam bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, jumlah tersebut meningkat sebanyak 167 kes atau 3.33 peratus berbanding 5,013 kes yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut beliau, nilai barangan keseluruhan yang terlibat dianggarkan mencecah RM2.05bilion, meningkat RM563 juta atau 37.7 peratus berbanding RM1.492 bilion dalam tempoh sama pada 2025.

“Berdasarkan statistik penguatkuasaan, rokok merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 2,333 kes dengan nilai rampasan mencecah RM476 juta.

“Kategori ini diikuti barangan lain-lain komoditi yang mencatatkan 1,256 kes dengan nilai rampasan RM522.47 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amran berkata, kategori barangan lain-lain komoditi itu merangkumi pelbagai barangan termasuk daging dan ayam beku, tekstil, tayar, alat ganti kenderaan, alat komunikasi serta mata wang.

Katanya, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan JKDM dalam membanteras kegiatan penyeludupan serta penyelewengan duti dan cukai kastam.

“JKDM sentiasa memperkukuh dan memperkemas strategi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta perdagangan barangan tidak sah secara berterusan dan berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah melalui beberapa kes berprofil tinggi membuktikan komitmen jabatan dalam membanteras penyeludupan dadah.

Usaha itu, katanya, turut memberi tumpuan kepada membendung penyalahgunaan Malaysia sebagai negara transit bagi kegiatan pengedaran dadah antarabangsa.

Mengulas penguatkuasaan di Sabah, Amran berkata, tindakan terhadap kes penyeludupan minuman keras pada Ogos lalu turut memperlihatkan keberkesanan pemeriksaan kontena apabila sembilan kes cubaan penyeludupan berjaya dikesan. – KOSMO! ONLINE

The post 5,180 kes seludup tumpas, barangan bernilai RM2.05 bilion dirampas appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved