JKDM patahkan 5,180 kes penyeludupan, penyelewengan duti setakat Ogos

LocalBusiness & Finance
30 Sep 2026 • 5:21 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan sebanyak 5,180 kes penyeludupan dan penyelewengan duti serta cukai kastam bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, meningkat 167 kes atau 3.33 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam memperkukuh strategi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta perdagangan barangan tidak sah.

“Aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan barangan tidak sah terus menjadi antara cabaran dalam usaha memastikan keselamatan serta melindungi kepentingan ekonomi negara.
“Sehubungan itu, JKDM sentiasa memperkukuh dan memperkemas strategi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta perdagangan barangan tidak sah secara berterusan dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Image from: JKDM patahkan 5,180 kes penyeludupan, penyelewengan duti setakat Ogos

Menurut beliau, keseluruhan kes yang berjaya ditumpaskan itu membabitkan nilai barangan dianggarkan RM2.055 bilion, meningkat RM563 juta atau 37.7 peratus berbanding RM1.492 bilion bagi tempoh sama pada 2025.

Amran berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan, rokok merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 2,333 kes membabitkan nilai rampasan RM476 juta.

“Bagi kategori rokok, sebanyak 2,333 kes telah direkodkan dengan nilai rampasan mencecah RM476 juta, menjadikannya kategori yang mencatatkan jumlah kes tertinggi dalam tempoh berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata, kategori lain-lain komoditi pula merekodkan 1,256 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM522.47 juta, merangkumi pelbagai barangan termasuk daging dan ayam beku, tekstil, tayar, alat ganti kenderaan, alat komunikasi serta mata wang.

Image from: JKDM patahkan 5,180 kes penyeludupan, penyelewengan duti setakat Ogos

Dalam pada itu, Amran berkata, kejayaan JKDM menumpaskan sindiket pengedaran dadah menerusi beberapa kes berprofil tinggi turut membuktikan komitmen jabatan dalam membanteras penyeludupan dadah.

“Kejayaan JKDM menumpaskan sindiket pengedaran dadah melalui beberapa kes berprofil tinggi membuktikan komitmen berterusan jabatan dalam membanteras penyeludupan dadah, khususnya usaha membendung penyalahgunaan Malaysia sebagai negara transit bagi kegiatan pengedaran dadah antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, hasil penguatkuasaan terhadap kes penyeludupan minuman keras di Sabah pada Ogos lalu turut memperlihatkan keberkesanan pemeriksaan kontena apabila sembilan kes cubaan penyeludupan berjaya dikesan.

Image from: JKDM patahkan 5,180 kes penyeludupan, penyelewengan duti setakat Ogos

Mengulas pendekatan penguatkuasaan bagi tahun ini, beliau berkata JKDM meneruskan dan memperkukuh pelaksanaan pendekatan berasaskan hasil (outcome-based approach) dengan memberi tumpuan kepada kes penguatkuasaan berimpak tinggi.

“Pendekatan ini memberi tumpuan kepada kes-kes penguatkuasaan berimpak tinggi, khususnya kes berskala besar yang melibatkan pengimportan dan pemeriksaan kontena.
“Melalui pendekatan yang lebih berfokus dan berimpak ini, JKDM bukan sahaja berperanan melindungi dan memelihara hasil negara, malah turut mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan perdagangan tidak sah demi menjamin kepentingan ekonomi serta keselamatan negara,” ujar Amran.
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved