Krisis Negeri Sembilan: Dua ADUN Bersatu ubah pendirian sudah dijangka

LocalPolitics
5 May 2026 • 1:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Krisis Negeri Sembilan: Dua ADUN Bersatu ubah pendirian sudah dijangka
Mohamad Fadil

SEREMBAN - Tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia(Bersatu) Negeri Sembilan yang secara tiba-tiba mengubah pendirian dengan mengambil pendekatan berkecuali berhubung tindakan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sememangnya sudah dijangka.

Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin berpendapat, tindakan itu kemungkinan diambil selepas mereka melihat BN yang konsisten dengan keputusan diambil.

"Silap berkecuali yang dinyatakan mereka berkemungkinan kerana UMNO sangat konsisten dengan pendirian bahawa penarikan sokongan yang dibuat bukan kerana UMNO mahu tebuk atap tetapi kerana Menteri Besar dilihat tidak mampu menguruskan krisis pentadbiran di Negeri Sembilan sehingga berlaku satu sejarah hitam terburuk dan memalukan di Negeri Sembilan.

"Adakah apa yang berlaku hari ini akan dijadikan rujukan pada masa akan datang? Adakah selepas ini hal urusan adat dan Undang akan ada campur tangan eksekutif dengan semberono?" katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan dua ADUN Bersatu iaitu Mohamad Hanifah Abu Baker (Labu) dan Ridzuan Ahmad (Gemas) yang mengubah pendirian.

Sebelum ini, kedua-dua mereka bersama tiga ADUN Pas menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan 14 ADUN UMNO yang menyatakan sudah hilang kepercayaan terhadap Aminuddin, namun kini mengambil langkah berkecuali berikutan perkembangan politik semasa di Negeri Sembilan.

Selain itu, pihaknya juga menyangkal dakwaan yang pendirian UMNO di peringkat nasional dan Negeri Sembilan berhubung krisis berlaku tidak konsisten dan mengelirukan rakyat.

Ujarnya, UMNO pusat sememangnya menerima tindakan UMNO negeri itu yang telah hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar yang dilihat gagal menyelesaikan krisis pentadbiran Negeri Sembilan.

"Adat ini yang telah diamalkan secara turun temurun dan beratus tahun tidak pernah berlakunya gangguan atau pengurusan seteruk yang dilakukan oleh Aminuddin.

"Namun dari sudut positif, Pemuda UMNO Negeri Sembilan berpendapat ini adalah masa yang sangat sesuai untuk Menteri Besar mengambil sikap ‘berani kerana benar’ dengan memberikan satu tarikh pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri(DUN) bagi wakil rakyat kawasan membahas isu rakyat yang merupakan satu kepentingan mendesak pada masa ini," katanya.