Krisis Negeri Sembilan: ADUN Bersatu ubah pendirian susulan UMNO kekal dalam Kerajaan Perpaduan

LocalPolitics
5 May 2026 • 5:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Krisis Negeri Sembilan: ADUN Bersatu ubah pendirian susulan UMNO kekal dalam Kerajaan Perpaduan
Mohamad Hanifah Abu Baker (kiri) dan Ridzuan Ahmad

SEREMBAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu dan Gemas memaklumkan bahawa mereka mengambil langkah berkecuali berkenaan perkembangan politik semasa di Negeri Sembilan susulan keputusan UMNO untuk kekal di dalam Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan pada Selasa, Mohamad Hanifah Abu Baker dan Ridzuan Ahmad memaklumkan yang mereka berhak menyatakan pendirian tersebut.

"Kami, ADUN Labu dan Gemas mengikuti perkembangan krisis Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan.

"Kami bertanggungjawab untuk menyatakan pendirian kami ekoran keputusan UMNO untuk kekal di dalam Kerajaan Perpaduan 'UMDAP' di Negeri Sembilan,"katanya.

Justeru, mereka bertekad menggalas tanggungjawab sebagai pembangkang yang berwibawa untuk berperanan secara aktif melakukan semak dan imbang atau 'check in balance' dalam Dewan Undangan Negeri.

Tambahnya, mereka juga akan memainkan peranan untuk memantau setiap dasar dan pelaksanaan projek pembangunan di Negeri Sembilan dilaksanakan dengan telus, berintegriti dan berhemah demi kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kedua-dua wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu membuat kejutan apabila secara tiba-tiba mengumumkan mengambil langkah berkecuali berhubung tindakan UMNO yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Ia selepas beberapa hari mereka bersama tiga ADUN Pas menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan 14 ADUN UMNO yang menyatakan sudah hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.